Terkena Telefon ‘Terbang’ Peminat, Penyanyi Bebe Rexha Terima Jahitan Di Kepala

Penyanyi I’m A Mess iaitu Bebe Rexha mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terkena telefon pintar yang dilontar peminat ketika membuat persembahan konsert di Pier 17, New York, Amerika Syarikat pada 18 Jun (Ahad) lalu.

Gagal mengelak telefon pintar berkenaan, pemilik nama Bleta Rexha itu terduduk secara melutut dan kemudiannya dibawa turun dari pentas.

Bebe kemudiannya dibawa oleh perkhidmatan perubatan kecemasan ke hospital dalam keadaan stabil dan menerima jahitan di bahagian kepala.

Suspek lontar telefon kerana mahu mengikuti trend media sosial

Memetik laporan Rolling Stone, siasatan awal Jabatan Bandar Raya New York (NYPD) mendapati seorang lelaki berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Nicolas Malvagna telah melontar telefon pintar itu dengan sengaja kepada penyanyi Me, Myself & I itu.

Tertuduh telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah pada petang Isnin. Nicolas telah didakwa dengan dua pertuduhan serangan tahap ketiga; satu pertuduhan gangguan tahap kedua; satu pertuduhan gangguan teruk tahap kedua dan satu pertuduhan cubaan menyerang tahap ketiga.

Menurut Pejabat Peguam Daerah Manhattan, tertuduh bukan sahaja mengaku telah melontar telefon itu tetapi turut berkata, “Saya cuba melihat sama ada boleh memukulnya dengan telefon pada penghujung konsert kerana ia akan menjadi kelakar.”

CBS News melaporkan peguam yang mewakili tertuduh iaitu Todd Spodek berkata, “Saya fikir ini adalah trend biasa yang dilakukan oleh ramai penonton konsert. Saya tidak fikir dia (Nicolas) mempunyai sebarang niat untuk menyakiti penyanyi itu.”

Dalam pada itu, Todd menyatakan bahawa anak guamnya telah memberitahu seorang pegawai bahawa ia merupakan sebahagian daripada trend TikTok di mana telefon dibaling ke atas pentas akan ditangkap oleh selebriti.

Selebriti itu kemudiannya mengambil swafoto dengan telefon berkenaan dan kemudian memberikannya semula kepada peminat. Nicolas juga didakwa berkata dia fikir Bebe sedang melihat ke arahnya.

Insiden berlaku ketika Bebe ucap terima kasih kepada penonton

Sumber: Instagram @beberexha

Salah seorang pengunjung konsert Bebe iaitu Ross Bernaud berkata penyanyi itu sedang mengucapkan terima kasih kepada penonton untuk persembahan yang hebat apabila insiden itu berlaku.

“Ia adalah satu letupan yang besar, dan kami seperti, ‘Tunggu, itu sesuatu yang berat.’ Kami percaya tindakan itu seperti sangat disengajakan,” ujar Ross.

Bebe telah memuat naik sebuah video di TikTok miliknya yang menunjukkan kesan lebam di bahagian mata kiri dan luka di keningnya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca