Terkena Serangan Jantung Ketika Sesi Latihan, Casillas Kini Dilapor Stabil

Penjaga gol veteran, Iker Casillas dikejarkan ke hospital apabila dia dipercayai terkena serangan jantung ketika menjalani latihan.

Menurut kelabnya, Porto, pemain berusia 37 tahun yang memiliki 167 penampilan bersama Sepanyol itu mengalami ‘Penginfarkan miokardium akut’ ketika sesi latihan.

“Segala-galanya berada dalam kawalan, ketakutan yang besar tetapi semuanya masih utuh. Terima kasih atas semua mesej dan kasih sayang,” kata Casillas di laman Twitternya.

Menurut laporan daripada media Portugal, Casillas menjalani pembedahan dan kempennya pada musim ini sudah berakhir.

Ketika ini, Porto berada di tangga kedua Kejuaraan Portugal dan cuma ketinggalan 2 mata di belakang pendahulu Benfica dan dijadual bertemu Sporting Lisbon di final Piala Portugal pada 25 Mei ini.

Berita tentang situasi yang menimpa Casillas ini mencetus kebimbangan semua peminatnya, bekas rakan sepasukan dan juga lawan.

“Tunjukkan keberanian kawan. Saya berharap kamu sembuh dengan cepat,” kata bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Cristiano Ronaldo di Instagram.

Rakan senegaranya di Sepanyol, Gerard Pique menulis di Twitter, “Teruskan berjuang Iker, semoga cepat sembuh kawan!”

Pada masa yang sama, bintang tennis, Rafael Nadal dan juga Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut memberikan sokongan mereka kepada Casillas.

Casillas yang menyertai Porto pada tahun 2015 akan mencecah usia 38 tahun pada 20 Mei ini. Baru-baru ini juga, dia melanjutkan kontraknya bersama kelab itu bagi tahun depan dengan pilihan lanjutan selama setahun.

Artikel Lain Untuk Di Baca