Hasrat 47 warga Malaysia ke Kemboja untuk mencari pekerjaan tidak kesampaian, malah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila ditahan pihak berkuasa negara itu kerana disyaki terlibat dengan sindiket judi dalam talian.
Kesemua mereka berlepas ke Kemboja pada 9 Disember 2018 dan ditahan pada 11 Disember 2018 di sebuah rumah di Poipet, Banteay Mancheay di pinggir Phnom Penh.
Menurut Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, urusan pengambilan dan penghantaran mangsa telah diuruskan oleh sebuah agensi yang menjanjikan gaji sehingga AS$1500 (RM6115) dan sebagai cagaran mereka perlu membayar sebanyak AS$200 (RM815).
Kementerian Luar Negeri telah mengesahkan penahanan 47 orang rakyat Malaysia di Poipet, Kemboja sejak 11 Disember 2018 itu. Berdasarkan maklumat dilaporkan, 44 orang daripada yang ditahan itu berasal dari Sarawak dan berusia antara 18 hingga 20 tahun.
“Kebanyakan mereka masih muda, iaitu dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dan telah dijanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan oleh sindiket penipuan ini.” ujar Larry Sng.
“Apabila mereka tiba di Kemboja, mereka ditempatkan di sebuah kediaman persendirian, namun selepas beberapa minggu mereka masih tidak diberikan pekerjaan seperti yang dijanjikan, dan mereka mula resah. Mereka kemudian ditahan polis pula atas tuduhan terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian yang mana mereka telah nafikan yang mereka terlibat,” katanya kepada pemberita.
Menteri Kementerian Luar Negeri yang turut mengesahan perkara tersebut berkata, pemberitahuan tangkapan hanya disampaikan secara lisan oleh Polis Bantey Meanchey pada 28 Disember tahun lepas. Pegawai dari kedutaan telah mengadakan pertemuan dengan pegawai penjara dan hakim kes itu, tambahnya.
“Berikutan pemberitahuan itu, pegawai dari Kedutaan Malaysia di Phnom Penh telah membuat lawatan konsular ke pusat tahanan untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik setelah menerima maklumat terperinci dan kelulusan pihak berkuasa tempatan.”
“Lawatan itu mendedahkan bahawa kebanyakan tahanan telah ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang menarik,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Mereka (Kedutaan Malaysia) telah membawa perkara ini kepada perhatian kementerian dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja melalui nota diplomatik untuk melepaskan tahanan. Kami melalui kedutaan memantau dengan teliti kes itu dan bersedia untuk memberikan bantuan konsular yang perlu,” ujar kenyataan itu.
Sementara itu, salah seorang mangsa berusia 21 tahun yang ditahan di Kemboja dikenal pasti sebagai Yusuf Islam. Ibunya, Zunita Sedini, 42 tahun berharap anaknya dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Dia ada hubungi saya, kali terakhir dia kata, ‘mummy saya kena tahan dua minggu lepas’. Itu sahaja. Dia hubungi saya sekitar 7 malam dan kami berbual selama lima minit sahaja.”
Sehubungan itu Zunita dan ahli keluarga 47 warga Malaysia yang ditahan di Kemboja memohon campur tangan kerajaan untuk membawa pulang kesemua mangsa penipuan itu ke Malaysia.