Terjejas Akibat COVID-19, Ini Kisah Juruterbang Menjual Sagu

Susulan kesan pandemik COVID-19, kebanyakkan syarikat penerbangan besar turut terjejas apabila mengalami kerugian mendadak akibat tidak dapat melakukan sebarang penerbangan.

Ini telah mengakibatkan kakitangan syarikat penerbangan terkesan apabila separuh daripada mereka terpaksa diberhentikan. Mahupun yang masih bekerja, gaji mereka terpaksa dipotong untuk menampung perbelanjaan syarikat.

Begitu juga dengan kisah seorang juruterbang yang telah berkhidmat selama enam tahun di syarikat penerbangan terkenal Malindo Air, dia kini aktif berniaga pencuci mulut sagu yang diusahakan bersama isterinya.

Mohamad Akram Bin Abd Rahim berkongsi bahawa dia masih merupakan juruterbang di Malindo Air namun, pandemik telah menjejaskan sumber pendapatannya yang mana gajinya terpaksa dipotong hampir 90 peratus membuatkan dia ingin mencari rezeki lebih buat keluarganya.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya melihat ramai rakyat Malaysia yang mencuba pelbagai masakan di rumah. Begitu juga dengan kami suami isteri turut tidak terkecuali untuk mencuba variasi menu dan resipi baru. Ramai kawan-kawan kami telah memulakan perniagaan dari rumah selepas PKPK dan kami memutuskan untuk mencuba menjual sagu,” ujar Akram.

Akram turut menjelaskan bahawa sebelum mereka memulakan bisnes Sagopop ini, dia dan isteri terlebih dahulu meminta keluarga dan rakan-rakan untuk menjadi orang pertama yang merasai menu mereka. Perniagaan bermula setelah mereka mendapatkan maklum balas yang positif.

“Selepas beberapa bulan kami menjual sagu dan berjaya mendapatkan pelanggan tetap, kini kami cuba untuk mempelbagaikan perisa sagu seperti menggabungkan susu Thailand bersama sagu serta mempunyai topping istimewa,” jelas Akram lagi.

Sumber: sagopop.by.shakram

Tidak terlepas dari mencuba keenakan Sagopop mereka adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dazrin Kamarudin, Intan Ladyana, Acong Sweetchild, Sherry Ibrahim dan ramai lagi. Mereka juga turut mempunyai satu cawangan di @raf.pj.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca