Terjatuh Dari Buaian Berpusing, Pengunjung Pesta Ria Hilang Nyawa

Akibat terjatuh dari buaian berpusing, seorang lelaki berusia 39 tahun kehilangan nyawanya manakala seorang lagi cedera. Kejadian tersebut berlaku di sebuah pesta ria berhampiran satu pusat beli-belah di Cheras Selatan, dekat Kajang.

Buaian berpusing di sebuah pesta ria di Cheras. Sumber: Sinar Harian

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki tempatan yang bekerja di tapak pesta tersebut pada jam 12.05 pagi Khamis.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kajang. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat manakala seorang lagi mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut Mohd Nasir, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah membabitkan insiden tersebut.

“Kita masih menyiasat kejadian itu untuk mengetahui punca sebenar ia berlaku sama ada terdapat kecuaian pada pihak pemilik pesta ria atau mangsa sendiri,”

“Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan pada hari Khamis.

Sehubungan dengan kejadian ini, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi balai polis berdekatan di daerah Kajang atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Emran Mohd Noor di talian 013-7638512 untuk membantu siasatan.

Untuk membaca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca