Teringin Makan Bunga Sakura? 5 Makanan Berasaskan Sakura Ini Membuat Anda Mahu Terbang Ke Jepun

Keindahan cherry blossom atau bunga sakura yang mekar berwarna merah jambu di Jepun amat memukau dan mampu menarik perhatian orang ramai bagi menikmatinya. Kecantikan pohon dan bunga sakura turut memberi inspirasi kepada para penggiat kulinari bagi mencipta menu yang berasaskan sakura, malah ada yang kreatif menggabungkan makanan tradisi Jepun dengan barat seperti berikut:

1. Burger Udang Tartar Sakura Ebi

Sakura Ebi merupakan udang kecil yang berwarna merah jambu apabila dikeringkan atau lebih dikenali sebagai udang kering di Malaysia. Di Jepun, restoran makanan segera Lotteria ini menjadikan udang kering sebagai bahan untuk membuat sos tartar yang akan dimasukkan ke dalam burger udang serta diapit dengan dua roti ban yang dicampur dengan ekstrak bunga sakura.

2. Tiramisu Sakura

Tiramisu, pencuci mulut dari Itali ini biasanya ada rasa keju, kopi dan koko apabila menyentuh tunas rasa. Kedai manisan C3 (disebut “C Cube”) ini mencipta kelainan dengan menambah sirap sakura dan daunnya ke dalam lapisan tiramisu. Kemudian lapisan paling atas tiramisu ini ditaburi dengan potongan coklat kecil berbentuk sakura.

3. Pai Mochi-Mochi Sakura

Mochi adalah sejenis kuih tradisional rakyat Jepun yang biasanya dimakan ketika musim perayaan tahun baru di sana. Ia mempunyai tekstur yang melekit dan kenyal serta dihasilkan dengan menggunakan beras pulut yang ditumbuk dan dikenali sebagai Mochigome. Selepas masukkan kelopak bunga sakura ke dalam Mochi maka jadilah Mochi Sakura. Restoran Lotteria di Jepun telah menyajikan Pai Sakura Mochi-Mochi yang dipenuhi dengan pes kacang merah dan kerak pai diperbuat daripada bunga sakura.

4. Roti Berbentuk Kepala Kucing Perisa Sakura

Idea untuk membuat roti berbentuk kepala kucing perisa sakura ini telah mengetuk pintu kafe dan bakeri Blue Jean yang terletak di Hotel Osaka Shin Hankyu pada tahun 2007. Sejak itu, roti tersebut menjadi sensasi dan telah menarik ramai pelanggan untuk kembali ke kafe tersebut bagi menikmati sekali lagi Roti- Bentuk Kepala Kucing-Perisa Sakura atau dipanggil Ironeko Bread-Sakura Anko berwarna merah jambu ini bersama secawan teh hijau.

5. Puding, Pai Dan Kek Perisa Sakura Di Starbucks Jepun

Starbucks di Jepun telah menambah menu baru bertemakan sakura sebagai simbol musim bunga di negara matahari terbit itu. Menunya adalah pai, kek dan puding di mana kebanyakan bahan masakannya datang dari pohon sakura seperti serbuk sakura, puri sakura, sos sakura dan krim sakura. Menu ini hanya terhad pada musim bunga dan pembeli di sana mungkin beratur panjang di dalam dan luar Starbucks.

Artikel Lain Untuk Di Baca