Terima Soalan “Lebih Takut Kuman Daripada Allah?” Doktor Ini Kongsi Pengalaman Urus Kes COVID-19

Penularan wabak COVID-19 di negara ini berada pada tahap membimbangkan sehingga pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari hari ini (18 Mac 2020) sehingga 31 Mac 2020.

Apabila masyarakat cuba untuk menjarakkan diri daripada individu disyaki mempunyai simptom wabak meragut nyawa ini, doktor, jururawat dan pegawai perubatan pula memikul tanggungjawab untuk memastikan pesakit tersebut mendapat rawatan yang terbaik.

Walaupun begitu, seorang doktor meluahkan rasa terkilan di laman Facebook miliknya apabila menceritakan pengalaman ketika cuba membantu menguruskan kes COVID-19 di tempat kerjanya.

Kejadian itu berlaku selepas dia meminta seorang pesakitnya untuk kekalkan jarak (distancing) antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, niatnya itu disalahertikan oleh jemaah tersebut yang kemudiannya membalas, “Doktor lebih takut kuman berbanding Allah SWT, ya? Kita ada Allah SWT lah, doktor.”

Tidak mahu memanjangkan perkara tersebut, doktor itu menjawab soalan tersebut dengan tenang, “Bukan awak seorang takut Allah. Saya pun. Sebab saya takut Allah lah, saya pikul tanggungjawab dan amanah ini (kerja merawat). Setiap hari saya kena menghadap COVID-19 ni.”

Pada mulanya, niat di hati doktor tersebut adalah mahu bertanya kepada semua orang di bawah khemah tersebut sama ada mereka sudah makan ataupun belum.

Soalan itu membuatkan dirinya sedikit terkilan kerana petugas kesihatan sedang bertungkus-lumus untuk menangani wabak COVID-19 sehingga terpaksa meninggalkan keluarga tersayang.

Jelasnya, mereka sebagai petugas kesihatan sanggup mendedahkan diri kepada pelbagai jenis kuman untuk mengelakkan sesuatu penyakit itu daripada terus disebarkan kepada orang ramai kerana itu adalah bukti mereka takut kepada Allah SWT.

“Kenapa saya dan rakan-rakan buat semua ini demi menyempurnakan kewajiban kerana kami takut kepada Allah,” jelasnya.

Tambahnya, “Tawakal tanpa ikhtiar untuk hindari wabak bukan konsep sebenar tawakal. Kena ada usaha dan ikhtiar, seterusnya berdoa barulah berserah dan bertawakal.”

Akhir kata, hargailah jasa frontliner dan setiap pihak yang menghulurkan bantuan dalam menangani penularan wabak ini daripada terus merebak. Jangan pentingkan diri sendiri dan patuhi perintah kawalan pergerakan tersebut untuk kebaikan semua.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca