Terima ‘Nomad Pass’, Pasangan YouTuber Terkenal Dari Jepun Ini Gembira Dapat Kembali Ke Malaysia

Pasangan YouTuber dari Jepun iaitu Ai Nishida (iChang) dan Yusuke Nishida (Jimmy) meluahkan rasa sedih pada bulan lalu apabila mereka terpaksa meninggalkan Malaysia kerana visa pelancong telah tamat tempoh.

Sekiranya anda menonton video berkenaan, pasangan yang terkenal sebagai peminat makanan tempatan di Malaysia ini menjelaskan bahawa mereka telah mencapai had visa pelancong selama 180 hari setiap tahun.

“Kami melawat Malaysia menggunakan visa pelancong. Untuk pemegang pasport Jepun, kami dibenarkan untuk tinggal di sini selama 90 hari setiap lawatan dan 180 hari setiap tahun. Itu peraturan untuk pelawat Jepun di Malaysia sebagai pelancong,” terangnya.

Menerusi akaun YouTube iChang RM, pasangan itu sering mencuri perhatian orang ramai kerana banyak berkongsi dan menghasilkan kandungan kreatif yang memaparkan keindahan Malaysia dari pelbagai aspek seperti kebudayaan dan makanan kepada seluruh dunia.

Pasangan ini dapat menetap di Malaysia secara sah selama setahun

Sumber: Instagram iChang RM

Baru-baru ini, iChang dan Jimmy telah memuat naik video mereka melawat pejabat Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mengambil DE Rantau Nomad Pass.

Jimmy menjelaskan bahawa mereka tidak perlu pulang ke Jepun setiap 90 hari sebaliknya kini dapat menetap di Malaysia secara sah selama setahun.

iChang juga dilihat tidak dapat menahan air mata kegembiraan ketika berada di pejabat MDEC dan berkata bahawa mereka akan gunakan pas nomad itu sebaiknya.

Untuk membalas jasa baik kerajaan Malaysia, Jimmy berkata mereka akan menghasilkan lebih banyak konten video tentang Malaysia dan cuba bukan sahaja makanan baharu tetapi turut mempelajari budaya di negara ini.

Sumber: Instagram iChang RM

“Kami berjanji akan menghasilkan lebih banyak konten tentang Malaysia. Memandangkan kami kini tidak perlu risau tentang had 90 hari setiap lawatan sebelum perlu pulang ke Jepun dan 180 hari setiap tahun, cara saya berfikir tentang penciptaan kandungan juga telah berubah. Saya sangat relaks sekarang.

Kami ingin buat perkara baharu. Kami ingin meneroka perkara baharu. Kami ingin pergi ke tempat baharu. Kami ingin belajar tentang budaya Malaysia dengan lebih mendalam dan bertemu orang serta membuat video tentang itu. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.

iChang turut menambah, “Saya mahu membuat perkara baharu. Terdahulu, video-video utama kami berkaitan makanan. Bukan sahaja video makanan, kami akan buat konten lain dan explore Malaysia dengan lebih menyeluruh untuk kami berkongsi tentang negara ini kepada lebih ramai orang di luar sana.”

Untuk pengetahuan anda, pas khas DE Rantau itu membenarkan nomad digital warga asing menetap di Malaysia selama tiga bulan sehingga satu tahun. Mereka boleh memperbaharui pas itu semula sehingga 12 bulan sekiranya ingin sambung menetap di negara ini.

Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca