“Terima Kasih Semua”, Ini Coretan Terakhir Sulli Buat Mereka Yang Beri Kekuatan Kepadanya

Semenjak bekas ahli kumpulan ikonik K-Pop, f(x), Choi Jin-ri atau lebih dikenali sebagai Sulli ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di apartmennya, rata-rata peminat bercakap mengenai penderitaan yang selebriti itu terpaksa hadapi selama dia hidup di muka bumi ini.

Sepanjang bergelar penyanyi dan pelakon, Sulli menerima banyak kecaman terutamanya di media sosial. Ramai yang mengatakan bahawa buli siber terhadap selebriti itu menjadi punca kepada penyakit kemurungan yang dihidapi sekali gus membawa kepada tindakan mengambil nyawanya sendiri.

Dalam satu program temu bual iaitu Truth Score, Sulli pernah mengatakan yang dia sangat penat apabila orang langsung tidak mengendahkan apa yang dia cuba sampaikan.

“Saya seolah-olah keseorangan dalam dunia ini. Saya cuba untuk lindungi diri sendiri tetapi tiada siapa yang dengar rintihan saya,” luah Sulli.

Pada bulan lepas, Sulli ada memuat naik satu nota bertulisan tangan di Instagram miliknya. Nota itu seolah-olah menunjukkan yang dia sedang cuba untuk melawan segala penderitaan yang dia alami dengan bantuan orang-orang tersayang.

“Hari ini merupakan tahun ke-14 saya berada dalam industri hiburan. Saya terlampau sibuk menjalani kehidupan sampaikan lupa berapa lama saya sudah berkecimpung dalam industri. Tapi apa-apa pun, terima kasih kepada mereka yang selalu doakan kesihatan saya, saya rasa diingati.”

“Setiap saat, saya dibantu oleh orang lain untuk meneruskan hidup. Dengan bantuan mereka, saya ada keberanian untuk terus hidup dan berasakan yang saya tidak tempuh hidup ini seorang diri.”

“Saya mahu menjadi seseorang yang boleh memberi semangat kepada orang lain dan saya juga ingin berterima kasih kepada semua orang,” coret pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri To The Beautiful You itu.

Sesungguhnya, kemurungan dan tekanan itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Sekiranya anda tergolong dalam kalangan mereka yang derita penyakit kemurungan, anda boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders, sebuah badan NGO yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan. Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di laman sesawang Befrienders.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca