“Tergamaknya,” Bayi Perempuan Masih Bertali Pusat Ditinggalkan Di Tepi Jalan

Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru sahaja dilahirkan ditemukan di dalam sebuah beg yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran dengan Balai Raya Kampung Tenglu Laut di Mersing, Johor pada petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing, bayi yang masih bertali pusat itu diletakkan di dalam sebuah beg dengan hanya beralaskan kain batik.

“Polis menerima maklumat daripada orang ramai memaklumkan menemukan seorang bayi yang masih hidup dan cukup sifat di tepi jalan berhampiran balai raya tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Memetik laporan Astro Awani, bayi itu kemudiannya diselamatkan dan dirawat di Klinik Kesihatan Tenglu sebelum dihantar ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, bayi yang dipercayai baru berusia 24 jam itu berada dalam keadaan stabil selepas dirawat.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. Pelaku boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama, Cyril turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan kes pembuangan bayi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca