Terbukti Tidak Bersalah Atas Tuduhan Pukul Bekas Tunang, Syafie Naswip Panjat Rasa Syukur Dan Lega

Beberapa bulan lepas, kecoh mengenai kisah seorang pelakon terkenal tanah air iaitu Syafie Naswip dan pelakon yang baru sahaja menempa nama dalam industri, Aishah Azman yang bertindak memutuskan tali ikatan pertunangan mereka.

Apabila perkara ini menjadi tular, timbul pula pelbagai kontroversi termasuklah dakwaan yang mengatakan Syafie telah bertindak kasar terhadap bekas tunangnya sehinggakan wanita itu mengalami kecederaan. Aishah juga telah membuat laporan polis mengenai dakwaan itu dan ia secara tidak langsung membuatkan ramai ketika itu menuding jari kepada Syafie.

Namun begitu, pihak pendakwa raya akhirnya membuat keputusan kes adalah Tiada Tindakan Lanjut (TTL) memandangkan tiada keterangan yang mencukupi bagi membuktikan Syafie benar-benar bersalah dalam hal ini.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dengan keputusan siasatan yang dibuat dengan penuh telus oleh pihak berwajib,” kata Syafie.

“Sekurang-kurangnya ia telah membuktikan segala tuduhan yang dibuat ke atas saya adalah tidak benar dan saya berterima kasih dengan doa semua,” ucap pelakon yang mula terkenal menerusi filem Mukhsin itu.

Perkara itu juga telah disahkan sendiri oleh peguam Syafie iaitu Muhammad Ashraff Mohd Diah dari Ashraff Al-Hizan & Associates.

“Alhamdulillah, pihak polis yang menyiasat kes berkenaan aduan yang dibuat oleh bekas tunang Syafie telah memaklumkan kepada pihak kami secara bertulis bahawa siasatan telah pun dijalankan dan hasil siasatan tersebut telah dibawa kepada pendakwa raya.”

“Pihak pendakwa raya kemudiannya telah meneliti kertas siasatan tersebut dan telah membuat arahan agar Tiada Tindakan Lanjut (No Further Action) ke atas kes ini memandangkan tiada keterangan yang mencukupi untuk menuduh Syafie berkenaan aduan berkenaan,” terang Ashraff.

Dalam pada itu, Syafie sangat bersyukur atas doa orang ramai terhadapnya. Dia juga berterima kasih kepada keluarga dan para peminat yang tidak putus-putus menghantar kata-kata semangat menerusi aplikasi WhatsApp dan juga media sosial seperti Instagram dan Twitter.

“Betullah pesan dan ingatan ibu setiap masa kepada Ayie, doa orang yang teraniaya memang tiada hijabnya. Dan itulah yang Ayie doakan setiap masa.”

“Saya rasa sangat lega dengan keputusan yang diberitahu oleh pihak peguam, tapi tidaklah sampai nak melompat,” seloroh Syafie.

Untuk rekod, Syafie Naswip telah mengikat tali pertunangan dengan Aishah Azman pada 7 April 2019 tetapi mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan mereka pada 21 Julai tahun yang sama.

Sebelum ini, Aishah telah melemparkan tuduhan yang mengatakan bahawa bekas tunangnya itu memukulnya dan mempunyai hubungan sejenis.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca