Duit gaji merupakan hasil titik peluh kita sendiri. Akan tetapi, untuk menyimpan duit merupakan sesuatu yang sangat susah bagi seseorang terutamanya golongan muda kerana mereka tidak mengenali erti tanggungjawab.
Mereka akan mengetahui betapa susahnya memikul tanggungjawab setelah mereka mendirikan rumah tangga nanti. Oleh itu, golongan muda perlulah membuat persediaan sebaik mungkin untuk masa yang akan datang.
Berikut kami kongsikan langkah yang boleh dilakukan untuk menyimpan duit walaupun bergaji rendah:
1. Mengubah pemikiran dan matlamat hidup
Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah dengan mengubah pemikiran dan matlamat hidup. Apabila anda menerima gaji yang rendah, anda tidak boleh hidup dengan cara orang yang bergaji tinggi. Anda perlulah mengawal nafsu berbelanja dan mestilah mempunyai matlamat untuk mengubah hidup anda kepada yang lebih baik.
2. Simpan dulu gaji baru belanja
Selain itu, anda boleh mengamalkan tabiat untuk menyimpan terlebih dahulu gaji yang diterima. Anda tidak perlu menyimpan seluruh gaji, tetapi apabila dapat gaji terus simpan hanya 10% daripada gaji. Cuba untuk tidak menggunakan wang yang disimpan. Kalau boleh, simpan di tempat yang susah untuk anda keluarkan seperti Tabung Haji dan ASB.
3. Mencari pendapatan lain
Jika terus bergantung kepada satu pendapatan sahaja, pastinya ia hanya sekadar cukup-cukup makan. Anda boleh melakukan pekerjaan sampingan untuk meningkatkan jumlah pendapatan bagi menampung kos perbelanjaan harian diri sendiri dan dapat menambahkan jumlah wang simpanan.
Terdapat pelbagai pekerjaan sampingan yang boleh anda lakukan seperti jualan dalam talian menerusi media sosial seperti Instagram dan Facebook. Jualan dalam talian sangat menguntungkan kerana tidak perlu menggunakan modal yang besar.
4. Mengurangkan perbelanjaan
Langkah seterusnya yang perlu diambil adalah dengan mengurangkan perbelanjaan harian. Perkara seperti menonton wayang, menukar telefon pintar yang mahal, baju yang mahal, makan di restoran mahal dan sebagainya perlu dielakkan.
Pastikan anda mencatat setiap perbelanjaan supaya anda boleh mengetahui jumlahnya setiap bulan. Dengan catatan itu juga, anda boleh menganalisis jenis perbelanjaan yang boleh dikurangkan pada bulan seterusnya.
5. Kenali erti keperluan dan kehendak
Perkara ini sangat susah untuk dilakukan. Anda perlulah berbelanja mengikut keperluan dan bukannya mengikut nafsu semata-mata. Buat apa untuk nampak hebat dan mewah di mata orang tetapi diri sendiri terseksa, betul tak? Biarlah tak nampak hebat di mata orang pun, janji poket sentiasa penuh.
Sebagai contoh, menukar telefon merupakan sesuatu yang tidak asing bagi golongan muda pada zaman sekarang. Pantang ada model terbaharu, mereka akan menukar telefon mereka. Malah, ada yang sanggup berhutang untuk mendapatkannya. Jangan jadi hamba kepada barangan mewah. Tapi, kalau anda mampu, tak kisahlah.
Kesimpulannya, berbelanjalah dengan bijak dan fikirkan tentang masa depan anda supaya anda tidak menyesal di kemudian hari.
Penulis
- Wan Mohammad Firdaus Wan Ruslan adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.