Tentang Kapal Equanimity Yang Dibeli Jho Low

Kapal Equanimity adalah sebuah kapal mewah yang didakwa kepunyaan ahli perniagaan Malaysia iaitu Jho Low. Kapal yang bernilai RM1 billion itu dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB. Kapal yang memerlukan kos penyelenggaraan sehingga mencecah RM3 juta sebulan ini juga mengambil masa yang agak lama untuk dipulangkan kepada kerajaan Malaysia walaupun sudah disita oleh kerajaan Indonesia sejak bulan Februari lalu.

“Hiasan dalaman kapal ini sangat mewah, sangat cantik, perabot yang ada dalam kapal ini saya sendiri pun tidak pernah melihatnya. Begitu juga dengan bilik tidurnya, kita boleh tidur sambil melihat keindahan langit.” menurut Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir ketika bercakap di dalam satu sidang media selepas beliau melawat kapal itu.

Nama kapal ini diambil daripada perkataan latin iaitu æquanimitas yang bermaksud “sebuah ketenangan.” Ia juga pernah tersenarai dalam 60 kapal termewah di dunia, jadi tidak hairanlah kalau Jho Low dikaitkan dengan penyalahgunaan wang 1MDB selepas maklumat tentang pembelian kapal mewah ini tersebar kepada umum.

Tidak cukup dengan menjadi salah satu kapal terbaik dunia, Equanimity juga mempunyai panggung wayang di dalamnya. Mungkinkah ini kerana Jho Low mahu menonton filem The Wolf of Wall Street (yang turut dikaitkan dengan beliau) di dalam kapal mewah ini?

Pada bulan Februari yang lalu, kapal ini telah disita di Bali atas permintaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, pada bulan Julai kerajaan Indonesia merampasnya kembali dan mengambil keputusan untuk menyerahkan kapal mewah itu kepada kerajaan Malaysia.

Menurut Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng mengatakan bahawa kerajaan Malaysia ingin menjual kapal ini dengan harga RM1 billion agar dapat mengurangkan bebanan kerajaan yang sekarang ini dikatakan sedang menanggung hutang 1MDB.

Kredit gambar – Mattravelmy & KerajaanRakyat2.

Artikel Lain Untuk Di Baca