Tembak Dan Kerat Kepala Pelajar, Jenayah Sejarawan Napoleon Ini Mengejutkan Warga Rusia

Seorang profesor warga Rusia yang dikenali ramai kerana pengetahuan mendalamnya terhadap Napoleon Bonaparte didapati bersalah membunuh seorang pelajar yang juga merupakan kekasihnya pada awal November lalu.

Menurut laporan France24, Oleg Sokolov, 63, telah menembak mati kekasihnya, Anastasia Yeshchenko, 24, selepas satu pergaduhan hebat. Mayat Anastasia kemudiannya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum Oleg cuba membuangnya di Sungai Moyka, St. Petersburg, Rusia.

Difahamkan, ketika pembunuhan berlaku, Oleg berada dalam pengaruh alkohol. Jenayah sejarawan tersebut terbongkar selepas dia terjatuh ke dalam sebatang sungai semasa dalam proses hendak membuang tangan Anastasia yang sudah dikerat.

Oleg Sokolov merupakan seorang pensyarah yang mengajar subjek sejarah di St. Petersburg State University yakni institusi pendidikan sama di mana Anastasia Yeshchenko sedang menyambung pelajaran ke peringkat PhD.

Menurut warga universiti, hubungan romantis Oleg dan Anastasia itu bukanlah sesuatu yang rahsia di kampus mereka.

Oleg mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah Perancis terutama sekali hal-hal yang berkaitan dengan Napoleon Bonaparte sehingga digelar obses oleh salah seorang pelajarnya.

Sejarawan itu juga sering dilihat berpakaian seperti jeneral perang Perancis yang dikaguminya. Malah, lelaki itu juga fasih berbahasa Perancis dan sering menggelar Anastasia sebagai Josephine yakni nama isteri pertama Napoleon Bonaparte.

Menurut abang kepada Anastasia, dia telah menerima satu panggilan daripada adiknya itu pada pagi Jumaat iaitu sehari selepas pergaduhan besar dengan Oleg. Motif pertengkaran dikatakan berpunca daripada sikap cemburu melampau profesor tersebut.

Sebaik ditahan polis, Oleg mengaku bersalah kerana telah menyebabkan kematian Anastasia Yeshchenko dengan menembak kepalanya menggunakan selaras senapang patah. Beberapa anggota badan Anastasia kemudiannya dikerat dengan gergaji sebelum cuba dibuang ke dalam sungai.

Sumber daripada pihak polis mengatakan Oleg telah merancang mahu membunuh diri sambil berpakaian lengkap seperti Napoleon Bonaparte usai membuang mayat kekasihnya.

Anastasia Yeshchenko dilaporkan telah berpindah ke St. Petersburg dari daerah Krasnodar di Selatan Rusia demi melanjutkan pelajarannya. Para pelajar lain menggambarkan gadis muda itu sebagai seorang yang pintar dan disenangi ramai.

Artikel Lain Untuk Di Baca