Setelah kekalahan berturut-turut terhadap Aston Villa pada musim lepas, Arsenal akhirnya mengalahkan pasukan tersebut dengan kemenangan selesa tiga berbalas satu.
Kemenangan ini juga mencatat kemenangan pertama Arsenal terhadap Aston Villa di bawah kendalian Arteta.
Tirai jaringan untuk Arsenal dibuka oleh Thomas Partey pada minit ke-23 hasil daripada satu sepakan sudut. Hantaran melencong daripada Smith Rowe disentuh bahu Thomas untuk menjaringkan gol pertama Arsenal pada jarak yang dekat.

Gol ini menjadi gol pertama buat Thomas Partey selama dia menyarung jersi Arsenal.
Arsenal mempunyai peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0 namun sepakan daripada Bukayo Saka dihalang oleh Emiliano Martinez dengan kakinya.
Pada masa tambahan separuh awal permainan, Arsenal dihadiahkan satu sepakan penalti apabila pemain pertahanan Aston Villa, Targett mengasari Lacazette di dalam kawasan kotak penalti.
Walaupun sepakan awal penalti tersebut dapat dihalang oleh Martinez, namun lantunan semulanya dapat dijaringkan oleh Aubameyang lantas meletakkan Arsenal dua gol dihadapan.
Gol ketiga Arsenal pada minit ke-56 terhasil daripada counter attack yang baik. Hantaran bijak daripada Aubameyang membuka ruang untuk Smith Rowe menggelecek ke arah gawang gol pihak lawan.

Tidak membazirkan peluang tersebut, Smith Rowe menjaringkan gol ketiga untuk Arsenal apabila sepakannya terkena kaki pemain Aston Villa, Tyrone Mings lantas menemui jaring gol pihak lawan.
Pada minit ke-82, Aston Villa menjaringkan gol saguhati hasil sepakan daripada Jacob Ramsey dari luar kotak penalti. Namun peluang untuk comeback adalah tipis untuk kumpulan tersebut kerana kumpulan kendalian Arteta sudah jauh di hadapan.
Keputusan seri 2-2 pasukannya di laman sendiri menentang Crystal Palace pada hari Isnin telah mengecewakan Arteta, tetapi beliau gembira dengan reaksi daripada pasukannya pada hari ini.
“Kami menyerang mereka dengan sangat agresif,” kata Arteta. “Kami kreatif dan sentiasa menjadi ancaman untuk pihak musuh. Saya bangga dengan pasukan, mereka bermain dengan sangat baik.”
“Inilah cara kami harus bermain. Ini terhasil apabila kita baik, iaitu apabila kita bermain dengan keinginan sebenar, komitmen sebenar dan mempunyai idea yang jelas tentang cara menyerang mereka. Kami menjadi semakin rapat sebagai satu pasukan, ” tambahnya.

Permainan berakhir dengan memperlihatkan The Gunners meraih tiga mata hasil perlawanan di Stadium Emirates.
Keputusan ini menaikkan Arsenal ke tangga kesembilan dalam tangga liga, setelah memperoleh 14 mata daripada sembilan perlawanan setakat ini. Manakala Villa terperangkap di tangga ke-13 dengan 10 mata.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: