Tawaran Buku Percuma Lejen Press Terhad Kepada 500 Orang Sempena PKP #DudukRumahBacaBuku

Penularan wabak COVID-19 yang kian membimbangkan menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk melanjutkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 14 April, tetapi disambung sehingga 28 April 2020. Perutusan khas itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 April iaitu petang semalam.

Bagi mematuhi arahan kerajaan untuk kekal duduk di rumah, orang ramai sudah pastinya berasa bosan tanpa berbuat apa-apa. Jadi untuk mengisi masa lapang anda, Lejen Press berbesar hati untuk menawarkan buku secara percuma kepada 500 orang sempena PKP.

Inisiatif ini diambil bagi mengalakkan lagi orang ramai supaya #dudukrumahbacabuku serta menambahkan lagi ilmu pengetahuan.

Anda hanya perlu mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan menerusi ciapan di Twitter Lejen Press. Ia terhad kepada 500 orang yang terawal sahaja serta anda hanya perlu membayar kos pos laju dan pengurusan sebanyak RM10.

Berikut adalah senarai 12 buku berserta sinopsis yang akan diberikan percuma kepada anda:

1. Gila: Kumpulan Cerita Kontot

GILA
TERENCAT – MENTAL – PSIKO – OBSESI – TERLAMPAU
Letak sahaja sebelum, selepas atau di antara apa-apa perkataan – kata ‘GILA’ masih boleh digunakan. Luwes dan menyeluruh untuk apa sahaja – harta – seks – kerja – kentang – orang – aku – kau.
GILA ada di mana-mana. Berikutan itu, inilah cerita gila yang GILA DAHSYAT.
Kita semua boleh relate.
Sebab apa?
Sebab kita semua GILA.

2. Kopi Lejen

Di sebalik warna hitam itu, ada sejuta warna, yang penuh rahsia. Jika kurang gulanya, ada cerita pahit dalamnya, jika terlebih gulanya, ada cerita sakit sedia, jika sempurna rasanya, pasti semua gembira, secangkir kopi biasa, membezakan yang miskin dan kaya, kerana secangkir kopi juga ada yang berlagak kaya padahal papa kedana. Manusia, lihatlah kopi sana, biarpun hitam langsung tidak menarik warnanya, tapi menjadi kegemaran semua. Namun, elaklah menjadi kopi yang cantik dan sempurna, padahal ada sakit dan haram di dalamnya.

3. Cinta Hipster: Antologi Cerpen

MALAYSIA- Nilai kata ‘cinta’ semakin susut gara-gara terlalu ramai yang gunakannya untuk mendapatkan sesuatu demi kepentingan diri.

Apatah lagi apabila definisinya diubah demi membuktikan betapa konon romantiknya manusia sejagat.

Anda dinasihatkan supaya berhati-hati dengan pengguna cinta palsu. Kerana anda pasti terluka.

Cinta sejati ibarat hantu – semua percaya kewujudannya, ramai yang mencari, tapi hanya segelintir yang terjumpa. Dan apabila sudah jumpa, sukar untuk dilupakan. Mungkin, akan kehilangan selamanya.

4. Skandal Libero

Sepakannya padu, penyudahnya tajam dan gelecekannya juga mengagumkan. Sebagai seorang pemain kebangsaan dan memakai lilitan kapten, tiada apa yang lebih penting berbanding kejayaan pasukan kebangsaan di pentas kejohanan Asia Tenggara tatkala negara masih bermimpi untuk muncul berentap di kejohanan dunia.

Di kala itu, Andrea terus menagih perhatian Zharif hinggakan rela mempertaruhkan harga dirinya kerana inginkan cinta kapten kebangsaan itu. Susur karier Zharif terhunjam dek kerakusan cinta Andrea, lalu menyebabkan pelbagai masalah timbul menerpa. Kes khalwat antara Zharif dan Andrea yang diuruskan Nusaibah terganggu dek desakan pihak atasan supaya kes itu didiamkan.

Tanpa disangka Zharif pula tersepit di tengah-tengah pergeseran orang kuat FAM sehingga menjadi buruan pihak berkuasa. Hal ini memaksa dia mendapatkan perlindungan dari seorang tabligh. Tabligh itu membawanya merantau menjauhkan diri daripada pengetahuan masyarakat penggila bolasepak negara.

Liku-liku yang ditempuh menjadikan diri Zharif terpencil jauh daripada gah seorang pemain bola sepak profesional, namun minat dan jiwanya yang lama dipertaruh dalam arena bola sepak tidak pernah putus menyucuk semangatnya untuk kembali ke arena bola sepak tanah air.

5. Kolonial Mimpi

Dalam kalut perintah darurat, Hairi tersedar yang dia berada di Kuala Lumpur. Khayalannya berbaur. Ingatannya kabur. Di saat negara mulai dijajah, dia masih lagi dalam keliru dan ingin kembali ke Kota Kinabalu. Dari sebuah hotel di Kuala Lumpur, ke KLIA dan Flat Jingga, Hairi tercampak ke dalam penjara dan bertemu dengan seorang tentera diRaja.

Dari ingatan yang paling diingati, Hairi hanyalah seorang pustakawan yang larut dalam mimpi-mimpi cinta seorang wanita dengan wangian lavender, namun dia berakhir sebagai seorang anggota Militan Kinabalu menentang penjajah di Borneo Utara.

Kolonial Mimpi, sebuah sci-fi perjalanan separa sedar seorang pemuda bernama Hairi di kala negara kembali terjajah.

6. Dabel Date

Himpunan kisah-kisah pendek, hasil ketidaksenian dua pasang manusia, yang cuba merungkai apa yang dikatakan cinta, dari genre-genre berbeza.

“Berpasangan, tak semestinya bercinta. Dan bercinta, tak semestinya lelaki dan perempuan.”

7. Kopi-Ah

Kopiah dan serban semata bukan caranya. Perlu juga pakai topi bila perlu. Barulah stailo pak aji kita!

Islamik perlu ada ‘pop’ di dalamnya agar getarnya mampu dirasa dan dielus lebih banyak jiwa.
Jiwa-jiwa kosong. Jiwa-jiwa separa kosong. Jiwa-jiwa berontak.
‘Pop’ yang ada dalam penyampaian berbentuk kispen dalam buku ini mahu membuka jiwa-jiwa ini.
Islam itu juga ada pop; bukan k-pop tapi iPop!

8. Nami

Nami mendakwa dia mula menulis seawal tahun 1991, tetapi penulisannya mula dibaca orang ramai pada zaman blog Teh Tarik Gelas Besar sekitar tahun 2008. Sembilan tahun selepas itu, sudah berbelas buku yang telah ditulis olehnya, serta banyak cerpen dan tulisan yang hanya dilepaskan di status Facebook, atau tersembunyi dalam diari.

Buku Nami ini mengumpulkan petikan-petikan kata penting daripada novel-novel Nami, serta cerpen dan tulisan yang belum pernah diterbitkan lagi.

Oh ya, buku Nami ini limited edition—jadi kalau anda nak jadi peminat Nami yang rare—ini ‘MESTI MILIK!’.

9. Singapura, Aku Datang!

10. Lunyai – Sebuah Antologi

Dadanya berombak laju. Nafasnya yang terputus, cuba kembali untuk diluruskan. Manik-manik peluh yang memenuhi dahinya, dihapuskan menggunakan belakang tapak tangan kanannya. Dia kemudiannya menjuruskan pandangan ke arah seorang wanita tinggi lampai yang memakai shawl warna pink, berbaju kemeja kosong warna putih dan berseluar cikang warna hitam. Perlahan-lahan, dia mengulum senyum.

Kadang-kadang manusia itu hilang kewarasan. Akal dan iman tidak sejajar dengan tindakan. Menarik nyawa jalan terakhir untuk menyulam kepuasan. Kita semua lupa adakalanya manusia juga berjiwa haiwan.

Dikenali dengan keperkasaan, keberanian serta kebolehan mengagumkan yang tidak ada pada manusia yang biasa-biasa. Tidak selalu menunggu sampai musuh mendatang dan tentangan menjelang. Dia bersedia menentang kejahatan dan kemungkaran.

Kata pakcik kepada Spiderman, “With great power comes a great responsibility.” Kuasa bukan untuk membinasakan.

Bukanlah adiwira namanya jika tidak mampu mempersembahkan kemenangan. Ini kisah-kisah tentang superhero dan keperkasaan!

11. I Retaliate

Pendam dari dalam, asalnya kebal akhirnya meremuk rendam, dari siang sampai malam, dari terbit surya hingga tenggelam bulan, maraknya dendam sukar terpadam. 

Kata orang; “Payback is a bitch”.

Tampak jernih raut wajah, keruh dalam hati tiada yang tahu

Kata orang juga; “Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya.” Bedanya, ada buaya lapar dan ada buaya sedang bersabr.

Kata orang lagi; “Lain padang, lain belalang”. Ada belalang makan lalang, ada belalang makan orang

I-Retaliate, sambungan daripada I-Weep yang merupakan salah satu dari 5 siri dalam IRise: The Chronologies.

12. I-Weep

Kau menangis?

Kau—LEMAH.

Kau meraung?
KAU—ALAH.

Meratap mengenang?
Kau—REBAH.

Merintih menyesal?
Kau— KALAH.

Macam-macam mereka kata, macam-macam diseranah bala, macam-macam cara aku dah cuba tapi
macam-macam kesialan hadir berganda.

Sudahnya aku putuskan untuk fikir begini—

Itu cuma kata mereka.

Dan aku kata mereka—SALAH.

Cara untuk dapatkan buku terbitan Lejen Press secara percuma untuk 500 orang sahaja

Anda hanya perlu tangkap layar (screenshot) ciapan di Twitter Lejen Press dan WhatsApp ke wa.me/601121334017.

Selamat membaca semua!

Untuk baca artikel lain berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca