Tawanan Perang Dijadikan Santapan, Ini Kisah Di Sebalik Patung Berwajah Manusia Di Pulau Easter

Menurut sejarah dunia, pulau terpencil ini wujud akibat letusan gunung berapi bawah laut sehingga membentuk sebuah pulau yang sangat indah dan kaya dengan flora serta fauna.

Bagaimanapun, mengikut sejarah awal kaum Rapa Nui, pelaut Polynesia telah menjumpai pulau berkenaan dan mula menghuni pulau tersebut lalu menjadi penduduk asli kawasan berkenaan sekitar tahun 700 masihi hingga 1100 masihi.

Mereka kemudiannya mendirikan rumah dan menternak. Selain daripada membentuk puak yang berasingan, mereka mula mengukir batu untuk menghasilkan ratusan patung gergasi yang digelar Moai dan diletakkan di sekitar pulau tersebut.

Penggemar fantasi dan mitos lebih beranggapan bahawa penciptaan patung-patung Moai di pulau tersebut mempunyai hubungkait dengan makhluk asing dan makhluk mistik yang dipuja oleh kaum Rapa Nui.

Kepercayaan terhadap patung Moai

Penduduk Pulau Easter mempercayai bahawa ketua mereka mempunyai kuasa luar biasa dan apabila pemimpin mereka meninggal, kuasa tersebut akan diserap oleh patung Moai itu. Berdasarkan kepercayaan mereka lagi, semakin banyak patung Moai disimpan, semakin banyak kesan positif kepada pulau seperti tumbuhan subur dan bumi yang sejahtera.

Patung itu juga dipercayai sebagai penjaga pulau. Bahkan, ada pendapat yang menyatakan bahawa patung Moai didirikan sebagai lambang kemegahan dan keagungan puak-puak berasingan yang tinggal di pulau itu.

Teori ini wujud berdasarkan perbezaan bentuk dan saiz patung-patung yang didirikan di pulau tersebut. Semakin besar patung itu, maka semakin tinggilah pangkatnya. Jika kecil patung itu, maka rendahlah pangkatnya.

Sesetengah pendapat juga menjelaskan bahawa suku kaum Rapa Nui mempunyai kelasnya yang tersendiri. Penduduk di kelas bawahan akan dikerah oleh golongan atasan untuk membina patung Moai sebagai penghargaan dan penghormatan kepada mereka.

Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun menjadi hamba abdi dan dikerah oleh golongan atasan, penduduk bawahan memberontak sehingga berlaku pergolakan di pulau kecil tersebut. Pemberontakan ini menyebabkan kerajaan kecil musnah.

Bagaimana patung gergasi ini dialihkan?

Para penyelidik menjumpai satu cara bagaimana kaum Rapa Nui pada zaman dahulu menggerakkan patung berat itu ke merata lokasi. Hasil kajian mendapati bahawa kaum tersebut telah memotong banyak pohon di sekitar kawasan pulau untuk disusun secara bersebelahan sebelum menggolekkan patung batu itu di atasnya.

Ketandusan kerajaan Pulau Easter

Keobsesan penduduk Rapa Nui dalam membina patung itu menyebabkan mereka menebang beratus-ratus pokok. Akibatnya, pulau tersebut menjadi gondol. Sejak itu, tanah kerajaan kecil ini tidak subur sehingga ramai penduduk pulau menjadi kelaparan. Kesannya, masyarakat Pulau Easter mula berperang sesama sendiri. Puak yang kalah akan menjadi tawanan dan dagingnya menjadi santapan.

Kenyataan ini telah dibuktikan dengan penemuan tulang-tulang di sebuah gua bernama Ana Kai Tangata yang bermaksud ‘gua dimana manusia dimakan’. Keganasan dan peperangan telah menyebabkan puak Rapa Nui musnah, yang tinggal hanyalah 887 patung gergasi ciptaan mereka yang menakjubkan.

Penulis

  • Nur Hasnim Suhaina bt Abd Hamid adalah pelajar Fakulti Filem Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Artikel Lain Untuk Di Baca