Seorang bayi perempuan baru lahir ditemui masih bernyawa biarpun ditanam hidup-hidup di dalam sebuah kubur cetek. Kejadian yang berlaku di India itu disyaki merupakan salah satu daripada kes penghapusan kaum wanita di negara itu.
Bayi perempuan tersebut ditemui di dalam sebuah pasu tradisional yang diperbuat daripada tanah liat. Pasu dan bayi tersebut ditanam kira-kira tiga kaki dalam tanah sebelum ditemui seorang penduduk yang mahu menanam bayi perempuannya yang mati sejurus dilahirkan.
Menurut Hitesh Kumar, dia terdengar tangisan bayi tersebut dan menyangka anaknya masih hidup dek suara berkenaan. Namun, setelah disiasat, Hitesh mendapati suara berkenaan datang daripada pasu yang ditanam di dalam tanah di sebuah kawasan perkuburan di Bareilly.
Menurut seorang pegawai polis, bayi perempuan yang ditemukan itu kelihatan seperti baru lima hari dilahirkan.
“Seorang penjaga kubur dipanggil dan lelaki itu telah memberitahu dia melihat ibu bapa bayi terbabit di lokasi awal pagi itu,” ujar pegawai berkenaan.
Bayi yang hanya seberat 1 kilogram itu dibawa ke Special Newborn Care Unit di Maharana Pratap District Hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Pegawai perubatan yang memeriksa bayi itu berkata anak kecil itu berkemungkinan baru sahaja ditanam di tempat kejadian.
“Bayi itu masih hidup kerana saiznya yang kecil menyebabkan dia tidak memerlukan terlalu banyak oksigen untuk bernafas,” tambah doktor itu.
“Kamu sedang cuba mengesan ibu bapa bayi berkenaan. Kami mengesyaki bahawa perkara ini dilakukan atas persetujuan mereka,” kata ketua polis, Abhinandan Singh.
Sejak Julai lagi, populasi wanita di India mengalami penurunan. Polis percaya perkara ini terjadi kerana masih terdapat individu yang melakukan pengguguran bayi walaupun ia sudah diwartakan sebagai melanggar peraturan. Golongan wanita di India sering dianggap sebagai satu beban buat keluarga berikutan mereka harus membayar mas kahwin apabila anak gadis mereka melangsungkan pernikahan.