Tangan Membengkak Dan Berdenyut Kepedihan, Guru Ini Alergi Terhadap Peralatan Sekolah

Alahan terhadap makanan seperti kacang adalah sesuatu yang biasa didengari. Alahan biasa ini boleh diubati dengan pelbagai ubat-ubatan. Namun, agak pelik apabila terdapat golongan yang mempunyai alahan kepada peralatan sekolah.

Michael Steer meninggalkan kerjaya lama dalam bidang perbankan demi mahu bergelar tenaga pengajar di Akademi Komuniti Thorbill, West Yorkshire, Britain. Bagaimanapun, kerjaya barunya membuatkan dia menderita dan sering jatuh sakit.

Penderitaan tersebut bukan berpunca daripada tekanan kerja atau masalah peribadi tetapi berpunca daripada alahan teruk terhadap persekitaran sekolah. Peralatan mengajar boleh membuatkan alahannya bertambah teruk hingga menjejaskan kesihatannya.

Antara peralatan yang boleh memberi alahan kepadanya adalah seperti pen merah, pen penanda, papan putih, kerusi plastik, gam, fail, skrin komputer dan pembaris kayu. Dia terpaksa memakai sarung tangan khas bagi mengelakkan alahan.

“Setiap kali melangkah masuk ke sekolah, saya rasa seolah-olah berjalan ke dalam perangkap maut,” katanya.

“Saya tidak boleh memegang alat tulis dan menggunakan papan putih untuk mengajar. Saya juga tidak boleh menanda buku pelajar dengan pen merah,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia tidak mempunyai pilihan melainkan memakai sarung tangan khas sepanjang sesi persekolahan.

Menurut Steer, tangannya akan membengkak apabila bersentuhan dengan peralatan sekolah yang memberi alahan kepadanya. Ia akan berdenyut dan pedih. Kesakitan itu akan berlarutan selama berjam-jam.

Pada awal pemeriksaan, doktor tidak dapat mengetahui punca alahan tersebut. Namun, setelah menjalani beberapa ujian, Steer disahkan menghidap penyakit kulit ekzema iaitu keradangan kulit yang boleh menyebabkan kegatalan.

Malah, dia juga turut menghidap dermatitis iaitu penyakit kulit kemerah-merahan dan menggelupas.

Artikel Lain Untuk Di Baca