Seorang wanita di India yang pernah menjalani pemindahan tangan terkejut apabila mendapati anggota baharunya itu berubah mengikut warna kulitnya.
Dalam masa dua tahun, tangan asal milik seorang lelaki berkulit gelap dan berbulu itu perlahan-lahan berubah kepada warna yang lebih cerah.

Shreya Siddanagowder, 21, kehilangan kedua-dua belah tangannya selepas terlibat dalam satu kemalangan bas pada tahun 2016. Ketika kejadian, Shreya yang berasal dari Pune, barat India itu hanya berusia 18 tahun.
Bagaimanapun, gadis itu nekad untuk menjalani pembedahan pemindahan tangan selepas dimaklumkan oleh doktor mengenai seorang penderma pada Ogos 2017.
Menurut Shreya, dia setuju untuk melakukan pembedahan itu meskipun tangan pendermanya adalah seorang lelaki dan berkulit gelap.

“Ia demi kehidupan baharu,” ujarnya.
Ketika ditemu bual oleh media tempatan, ibu Shreya berkata, dia turut terkejut apabila mendapati anggota badan yang diterima anaknya itu perlahan-lahan berubah cerah mengikut warna kulit anaknya.
“Shreya menjalani pembedahan selama 13 jam bagi mencantumkan tangan baharunya itu. Selepas dua tahun, warna tangan baharunya itu berubah cerah seperti kulit Shreya,” kata ibu gadis itu.

“Jika dahulu tangan itu kelihatan besar dan berbulu, kini, tiada siapa perasan bahawa anggota itu sebenarnya milik seorang lelaki. Malah, Shreya juga sudah mula menatarias kuku dan memakai barang kemas.”
Fenomena aneh yang berlaku ke atas Shreya itu bukan sahaja mengejutkan keluarganya malah, doktor yang merawatnya juga tidak dapat menjelaskan bagaimana tangan itu boleh berubah warna dan menjadi lebih feminin.

Untuk makluman, hanya 200 pembedahan pemindahan tangan berjaya dilakukan di seluruh dunia dan sembilan daripadanya berlaku di India.
Kes pertama direkodkan di Amerika Syarikat pada tahun 1999 melibatkan seorang mangsa mercun.
Untuk membaca artikel lain berkaitan kejadian aneh, sila klik pada pautan di bawah: