Tanak Nasi Di Pejabat, Lelaki Ini Kongsi Kisah Pemuda Berjimat Demi Kesenangan Ibu Dan Adik

Setiap daripada kita pastinya memiliki ibu dan ayah sebagai insan yang paling dicintai dan disayangi. Sudah tentu kita pasti sanggup berkorban apa jua asalkan dapat membahagiakan kehidupan mereka.

Sehubungan dengan itu, terdapat sebuah kisah yang dikongsikan oleh Encik Azri menerusi akaun Facebooknya pada 21 Oktober lalu. Pengalaman yang dilalui olehnya sepanjang berbual bersama kaki tangannya secara tidak langsung menimbulkan pengajaran dan nilai murni yang boleh dijadikan iktibar.

Beliau pada suatu hari dikatakan berniat untuk meluangkan masa bersama rakan sekerjanya sementara menunggu waktu bekerja bermula. Bagaimanapun, kedatangannya di pejabat berkenaan hambar berikutan tiada sesiapa pun rakan sekerjanya yang berada di ruangan tersebut.

Suasana sunyi berubah menjadi seram apabila dia mula mengesan suatu kelibat di bawah meja yang terletak di suatu sudut dalam pejabat tersebut.

Beliau cuba menguatkan hati untuk melihat keadaan sebenar di bawah meja tersebut. Alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati seorang daripada pekerjanya yang dikenali sebagai Habil sedang sibuk menanak nasi menggunakan periuk nasi elektrik.

Terpalit rasa kekeliruan apabila setahu beliau Habil telah pun menerima pendapatan yang agak lumayan pada minggu tersebut namun masih nekad untuk tidak membeli makanan di kedai.

Lebih mengharukan apabila pemuda itu berkata “Duit saya berikan kepada emak. Saya kasihankan emak meskipun dia tidak meminta. Sekurang-kurangnya dengan duit tersebut, emak berpeluang untuk beli pakaian dan makanan bersama-sama adik beradik yang lain.”

Jawapan itu bukan sahaja membuatkan hati lelakinya berasa sebak malah terharu kerana pemuda yang baru berusia 19 tahun itu tidak sedikit pun mementingkan keperluan dirinya.

Lebih menyentuh hati apabila Habil berkata “Saya tidak tahu sampai bila emak ada. Sementara emak ada, saya ingin sekali buat dia bahagia. Tidak usah fikirkan saya. Saya masih belum punya tanggungan. Tambahan lagi, saya sudah pandai mencari duit setiap hari.”

Hati beliau yang tersentuh dek mendengar tautan ayat tersebut terus mendakap Habil lalu mempelawa pemuda berkenaan untuk makan bersama-sama di ruangan tersebut. Dia kemudiannya turun ke restoran yang terletak di bawah pejabatnya untuk membeli lauk sebagai juadah mereka pada waktu itu.

Di sebalik kisah yang dikongsikan oleh lelaki ini, tersembunyi dua pengajaran sebagai iktibar kepada pembaca iaitu tidak pernah kedekut untuk berkongsi rezeki bersama keluarga dan sentiasa yakin dengan keredhaan ibu berupaya menambah keredhaan Allah SWT kepada hambanya.

Justeru, beliau menyarankan kepada semua pembaca agar terus berbuat baik kepada ibu dan bapa mereka.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca