Pasti ada dalam kalangan pembaca yang hari-hari buntu fikir baju warna apa nak dipakai. Kadang-kadang, ada yang termenung ketika membuka almari kerana memikirkan soal pakaian ini.
Ramai yang tidak peduli warna apa yang dipakai mereka. Ada juga yang memilih warna pakaian mengikut warna kulit mereka. Yang lagi pelik, ada juga yang meminati satu warna sahaja dan setiap minggu, mereka hanya memakai warna yang sama dan cuma rekaan sahaja yang berlainan.
Malah, ada juga yang memilih warna mengikut personaliti masing-masing. Namun begitu, pakar motivasi mengatakan pemilihan warna yang tepat adalah berdasarkan hari. Berikut adalah panduan untuk memulakan gaya penampilan baru setiap hari:
1. Hari Isnin – Putih
Hari Isnin adalah hari permulaan dalam setiap minggu, jadi sesuai bagi anda yang merupakan seorang pekerja atau pelajar untuk hadapi hari berkenaan dengan pemilihan warna putih kerana ia memberi ketenangan. Permulaan hari anda akan lebih kelihatan positif dengan mengenakan warna putih ini.
2. Hari Selasa – Ungu atau Merah Jambu
Hari Selasa adalah hari emosi. Jadi, lebih sesuai sekiranya anda memakai warna lembut seperti ungu dan merah jambu kerana warna-warna ini dapat menimbulkan perasaan ceria. Ia juga dapat membuatkan orang yang dekat dengan kita berasa lebih selesa dengan kita. Pergerakan kita juga akan lebih berani dan santai.
3. Hari Rabu – Biru
Hari Rabu adalah hari komunikasi. Selalunya, kebanyakan pembentangan atau mensyuarat dilakukan pada hari Rabu. Pemilihan warna biru dapat membuatkan seseorang itu kelihatan profesional dan berfikiran terbuka. Komunikasi juga akan lebih lancar. Warna biru juga adalah warna yang sesuai untuk disuai padankan dengan warna lain.
4. Hari Khamis – Kuning atau Oren
Hari khamis merupakan hari untuk membuat perubahan. Warna kuning dan oren ini adalah warna yang terang dan dapat menjadikan seseorang itu lebih bertenaga dan berfikiran lebih kritis. Warna terang ini memberikan keceriaan kepada si pemakai dan orang di sekelilingnya. Pergerakan juga akan lebih yakin.
5. Hari Jumaat – Hijau
Hari Jumaat adalah hari pernafasan. Mereka yang inginkan penampilan santai tapi masih tampak bergaya boleh mengenakan warna hijau ini. Pemilihan warna hijau dapat memberikan kesan yang lebih harmoni dan segar. Warna hijau ini juga mampu memberi pengisian kepada si pemakai.
6. Hari Sabtu – Merah
Hari Sabtu adalah hari untuk bersosial. Warna merah ini merupakan lambang keberanian dan kemewahan. Pemilihan warna merah ini dapat memberi aura keberanian kepada diri si pemakai untuk lebih bergerak aktif dan berani mencuba sesuatu yang baru.
7. Hari Ahad – Hitam
Hari Ahad adalah hari untuk berehat. Ramai yang keluar memakai pakaian hitam kerana ia lebih sesuai dan boleh dipadankan dengan warna lain. Warna ini juga tidak menampakkan seseorang itu berlebihan dalam bergaya tetapi lebih kepada penampilan yang santai. Warna hitam juga adalah warna yang mewah dan mampu memberikan aura positif kepada si pemakai.
Jadi, selepas ini anda semua sudah boleh mula menyusun baju-baju anda di dalam almari mengikut hari. Penampilan juga akan tampak lebih bergaya dan selesa. Selamat mencuba!
Penulis
- Nurul Aufa Husni Mohamed Yusoff adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.