Kita baru sahaja dikejutkan dengan berita sedih di mana Tam, badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia telah disahkan meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Kematian itu disahkan sendiri oleh Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA), Datuk Dr Junaidi Payne, lapor Astro AWANI.

Menurut Dr Junaidi, Tam yang berusia lebih 35 tahun telah menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Isnin akibat kerosakan buah pinggang dan hati.

“Bedah siasat ke atas Tam akan dijalankan tidak lama lagi. Buat masa sekarang, kerosakan buah pinggang dan hati tekaan (punca kematian Tam) terbaik kami,” katanya.

Tam dilaporkan mula hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu. Tahap kesihatan Tam juga dilaporkan merosot dari hari ke hari.

Menurut Dr Junaidi, sebelum ini Tam selalu menghabiskan masanya berkubang di dalam lumpur. Setelah tahap kesihatannya mula merosot, Tam lebih banyak menghabiskan masa berehat di bangsalnya.

Tam atau nama panjangnya Kertam ditangkap di Ladang Kretam iaitu sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu pada Ogos 2008.

Makanan harian bagi Tam adalah daun hutan segar. Tam juga mempunyai makanan kegemaran iaitu pisang. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan.

Berita sedih ini sekali gus menjadikan Malaysia kini cuma memiliki seekor badak sumbu Sumatera betina terakhir yang diberi nama Iman.

Sebelum ini, pelbagai inisiatif telah diambil bagi melakukan proses persenyawaan antara Tam dan Iman. Malangnya, segala usaha itu tidak berjaya memandangkan usia Tam yang sudah tua.

Inilah realiti yang perlu diterima oleh kita semua, satu lagi spesies istimewa sudah sampai ke titik noktah populasi.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda