Sering Berasa Takut Tanpa Sebab? Ini 5 Tanda Anda Mengalami ‘Anxiety Disorder’ Tanpa Anda Sedari

Anxiety disorder merupakan satu penyakit mental yang serius di mana individu itu mengalami gangguan kebimbangan yang melampau sehingga menjejaskan kehidupan hariannya.

Kami kongsikan lima tanda anxiety disorder yang mungkin boleh didapati dalam diri anda selama ini tanpa anda sedari:

1. Gangguan tidur

Gangguan tidur atau sukar untuk tidur malam sering berlaku apabila anda mempunyai masalah atau terlalu berfikir tentang masalah yang dihadapi sehingga anda berasa sukar untuk tidur pada waktu malam.

Sekiranya anda kerap mengalami gangguan tidur, anda mungkin mengalami anxiety disorder.

2. Serangan panik

Perasaan cemas yang terlampau itu menyebabkan pesakit mengalami simptom seperti sesak nafas, jantung berdegup kencang dan banyak berpeluh.

Kebiasaannya, mereka yang mengalami serangan panik ini lebih selesa memendam perasaan dan suka bercakap sendiri sehingga mereka berasa cemas dan panik secara tiba-tiba.

3. Perasaan takut tanpa sebab

Dipercayai bahawa individu yang selalu berasa takut tanpa sebab ini mempunyai trauma terhadap sesuatu dan sering meragui diri sendiri.

Sebagai contoh, perasaan itu sering berlaku apabila individu itu sebenarnya takut akan ketinggian dan hujan tetapi mereka tidak dapat menjelaskan alasan di sebalik ketakutan yang mereka alami itu secara logik.

4. Rendah diri

Individu yang mengalami gangguan kebimbangan turut mempunyai perasaan malu yang berlebihan sehingga mereka berasa gementar dan berpeluh di seluruh badan.

Sesetengah daripada mereka tidak dapat mengawal diri apabila perasaan itu menyerang mereka secara tiba-tiba. Disebabkan itu, mereka elak daripada berbual dengan orang yang berada di sekeliling mereka.

Selain itu, mereka tidak suka berada di tempat yang mempunyai ramai orang seperti pasar malam atau majlis-majlis terbuka kerana mereka tidak mempunyai keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai.

5. Keraguan diri sendiri (overthinking)

Keraguan diri sendiri boleh menyebabkan individu itu menjadi panik secara tiba-tiba. Selain itu, mereka kerap bertanya soalan kepada diri sendiri seperti “adakah saya sempurna?” atau “adakah saya cukup bagus?” dan sebagainya.

Sekiranya mereka kerap mempunyai keraguan terhadap diri sendiri, perasaan itu boleh menghantui individu berkenaan dan menyebabkan mereka mengalami gangguan kebimbangan yang berlebihan sehingga mereka berasa sukar untuk tidur pada waktu malam.

Oleh itu, kita perlulah mencari peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga supaya kita tidak mempunyai masa untuk berfikir tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh diri sendiri.

Dalam pada itu, anda boleh tonton video tentang pesakit mental dan stigma masyarkat terhadap mereka di bawah.

Penulis

  • Nur Hamizah Ayub adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca