Takut Ke Tali Gantung Punya Pasal, Pesara Ini Sanggup Bayar RM30,000

Bimbang akan dijatuhkan hukuman gantung kononnya kerana memiliki dadah, seorang pesara kerajaan bertindak memasukkan wang berjumlah RM30,00 ke akaun individu yang menipunya.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara iaitu Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, seorang individu yang menyamar sebagai pegawai bank telah menelefon mangsa yang berusia 62 tahun dan memaklumkan mangsa mempunyai sejumlah tunggakan pinjaman yang belum dibayar.

Pada masa yang sama, suspek turut memberitahu mangsa kononnya terbabit dalam kegiatan dadah dan aktiviti pengubahan wang haram. Jika dia mahukan hukuman ke atasnya ditarik balik, mangsa disuruh membuat bayaran sebanyak RM30,000 ke akaun ‘pegawai bank’ berkenaan.

“Akibat ketakutan dan terkejut selepas menerima panggilan terbabit, mangsa menuruti kata-kata suspek apabila dia membuat pemindahan wang ke dalam akaun bank seperti yang diberikan dalam satu transaksi.”

“Suspek pula meminta mangsa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.”

“Selepas memindahkan wang, dia memaklumkan kepada anak-anaknya sebelum mendapati dirinya terjerat dengan penipuan sindiket Macau Scam.”

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Noorzainy, orang ramai diminta berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan diterima serta mengikuti apa sahaja perkara diminta suspek.

“Periksa dahulu dengan pihak berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca