Takut Dengan Rasa Pedas, Ini Reaksi Katy Perry Selepas Cuba Rendang Dan Pulut Kuning

Lifetime Asia telah memuat naik video penuh salah satu episod pertandingan MasterChef Australia yang menampilkan penyanyi terkenal antarabangsa Katy Perry sebagai juri jemputan di laman YouTube. Dalam episod berkenaan, penyanyi itu telah cuba salah satu hidangan yang dibuat oleh seorang cef kelahiran Malaysia yang kini menetap di Australia iaitu Poh Ling Yeow.

Sumber: Daily Mail

Untuk pengetahuan anda, episod khas yang diadaptasikan daripada lagu terkenal Katy Perry sendiri iaitu cabaran Hot ‘N’ Cold ini menampilkan pelbagai hidangan dibuat dengan cita rasa pedas yang luar biasa.

Poh membuat keputusan untuk menampilkan makanan yang melambangkan Malaysia dan budayanya iaitu rendang itik dan pulut kuning sebagai menu beliau. Apabila rendang dan pulut kuning dihidangkan buat pertama kalinya di hadapan para juri, hidangan Poh mengingatkan Katy kepada makanan tradisional Mexico iaitu burrito.

Anda boleh lihat bagaimana reaksi Katy selepas cuba rendang dan pulut kuning yang dibuat khas oleh Poh dalam salah satu video teaser di bawah.

Katy beritahu Poh sebelum dia mula batuk, “Oh ya, saya dapat rasakannya.”

“Adakah saya masukkan terlalu banyak rempah?” tanya Poh.

“Poh cuba membunuh saya,” ujar Katy kepada salah seorang juri program berkenaan iaitu Melissa Leong.

Sumber: Fly FM

Walau bagaimanapun, Katy mendedahkan bahawa beliau sebenarnya suka dengan makanan yang dihasilkan Poh menerusi video penuh yang dimuat naik di laman YouTube Lifetime Asia.

Pada minit ke-54, anda boleh lihat Katy tertanya-tanya makanan apakah ini. Selepas dia cuba rendang dengan pulut kuning, selebriti itu seperti tidak boleh berhenti untuk makan.

Sumber: The Vocket

Bukan sahaja Katy, ketiga-tiga juri lain turut memberi pujian kepada makanan yang disediakan oleh Poh. Selain memuji rasa dan tekstur rendang dan pulut kuning, mereka turut memberi pujian kepada cara makanan itu dipersembahkan.

Selepas penggambaran tersebut, Katy dikatakan mula mengidam makanan pedas. Sekiranya anda mahu tahu, episod ini disiarkan semasa Katy sedang berbadan dua pada usia 35 tahun.

Dalam pada itu, Poh lahir di Kuala Lumpur dan pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nanas sebelum keluarga beliau pindah ke Australia ketika wanita itu berusia sembilan tahun. Anda boleh tonton episod penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan rendang, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca