Takluki Ombak Gergasi Setinggi 26 Meter, Peluncur Jerman Ini Berjaya Pecah Rekod Dunia

Seorang peluncur ombak dari Jerman berjaya memecahkan Guinness World Records apabila dia meluncur ombak setinggi lebih 26 meter dalam aksi ‘berani mati’ di luar pantai Portugal.

Sebastian Steudtner, 36, meluncur ombak gergasi tersebut di luar pantai Praia do Norte, bandar Nazare pada Oktober 2020.

Ketika Steudtner berumur 13 tahun, dia memutuskan untuk berpindah ke Hawaii.

Dia mengambil masa tiga tahun dan akhirnya berjaya meyakinkan ibu bapanya untuk meneruskan kerjaya dalam meluncur.

“Saya rasa ia menakjubkan. Saya telah mencapai semua yang saya mahukan dalam sukan. 

Ia adalah satu perjalanan yang ‘gila’ untuk sampai ke tahap ini dan rekod ini lebih daripada sekadar angka,” kata Steudtner dalam majlis pengiktirafan pencapaiannya yang diadakan pada Selasa lalu.

Steudtner pernah memperoleh Anugerah Ombak Terbesar Liga Luncur Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2010, 2015 dan 2021.

Guinness menyatakan, pengukuran ombak adalah proses yang panjang dan sukar melibatkan kerja-kerja mendapatkan tangkap layar daripada rakaman video aksi Steudtner.

Selain itu, mereka menggunakan objek lain dalam tangkap layar termasuk badan peluncur sendiri sebagai titik rujukan untuk menentukan ketinggian air.

Dia telah memecahkan rekod peluncur Brazil, Rodrigo Koxa yang dicipta pada 2017 di lokasi yang sama.

Pada masa ini, Steudtner sedang menganalisis setiap butiran persembahannya bagi melihat perkara yang boleh dia perbaiki.

“Masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan terutamanya dari segi teknologi sukan ini,” katanya.

Pada masa hadapan, dia berhasrat untuk menyumbang lebih banyak rekod baharu.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca