Tak Sampai Sebulan Sulli ‘Pergi’, Ibu Bapa Pula Bergaduh Rebut Harta

Belum surut berita tentang kematian selebriti popular Korea Selatan, Sulli, 25, yang membunuh diri pada 14 Oktober lalu, warganet sekali lagi dihidangkan dengan perihal artis ini. Namun, kisah kali ini berkisar mengenai pergaduhan keluarganya pula.

Menurut media penerbitan cina, Sina, harta peninggalan Sulli dianggarkan berjumlah kira-kira lima billion won iaitu bersamaan dengan RM18 juta. Perkara ini telah menyebabkan ibu bapa selebriti wanita itu bergaduh besar demi merebut kekayaan itu.

Undang-undang Korea telah menetapkan jika seseorang rakyatnya meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat, kesemua harta akan dibahagikan sesama ahli keluarga termasuk ibu bapa, pasangan, anak dan adik beradik. Disebabkan Sulli masih bujang semasa kematiannya, maka, harta terbabit jatuh ke tangan orang tua, dua abang dan seorang adik lelakinya.

Walau bagaimanapun, abang kedua Sulli, Choi Dae-Hee dilaporkan enggan menerima meskipun satu sen daripada harta adiknya itu. Lelaki itu membuat keputusan terbabit selepas tidak mahu menghabiskan wang satu-satu adik perempuannya yang sudah meninggal dunia atas dasar memberi kehormatan terhadap Sulli.

Namun begitu, Choi Da-Hee berkata ibu bapanya masih lagi bergaduh besar tentang pembahagian harta terbabit.

Sina melaporkan semasa satu rancangan aneka ragam, Sulli ada memberitahu bahawa dia kini tinggal bersama Choi Da-hee. Abangnya itu dikatakan sanggup belajar memasak demi memberi penjagaan terbaik kepada adiknya itu.

Sulli, atau nama sebenarnya, Choi Jin-ri ditemui tidak bernyawa oleh pengurusnya di dalam sebuah bilik di rumahnya pada 14 Oktober lalu. Menurut penyelianya itu, dia pergi ke tempat tinggal Sulli setelah gagal menghubungi wanita itu. Punca kematian dikatakan akibat membunuh diri. Rata-rata warganet beranggapan Sulli terdorong melakukan perkara itu selepas teruk dibuli di media sosial.

Sulli memulakan kariernya dalam industri hiburan sebagai pelakon kanak-kanak. Dia memegang watak Puteri Seonhwa yang berasal dari Silla dalam sebuah drama terbitan SBS bertajuk Ballad of Seodong.

Pada tahun 2009, Sulli telah menyertai syarikat SM Entertainment sebelum menganggotai kumpulan penyanyi wanita, f(x).

Sulli telah berehat selama setahun pada 2014 sebelum bertindak mengundurkan diri daripada kumpulan f(x) untuk fokus pada karier lakonannya.

Selebriti wanita ini telah membintangi beberapa siri drama dan filem antaranya To The Beautiful You di samping Choi Min Ho dan Lee Hyung Woo. Kali terahir Sulli dilihat membintangi drama TV adalah semasa penggambaran drama Hotel del Luna.

Sulli mengejutkan peminatnya apabila dia mengeluarkan satu single lagu bertajuk Goblin pada 29 Jun lalu.

Ekoran daripada kematian Sulli, pihak berkuasa dan agensi hiburan Korea Selatan telah membuat satu undang-undang anti buli demi melindungi selebriti.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca