“Tak Payah Balik, Mak Okey.” – Fauziah Nawi

Ketika sebilangan rakyat Malaysia yang berada di perantauan mula mengatur rancangan untuk pulang ke kampung walaupun telah dihalang kerajaan untuk berbuat demikian, pelakon veteran, Fauziah Nawi mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pesanan.

Sebagai seorang ibu, Fauziah tentu sekali memahami bahawa berhimpun bersama anak cucu di pagi 1 Syawal merupakan detik yang paling bermakna.

Walau bagaimanapun, beliau yang mesra disapa sebagai ibu menasihati orang ramai terutama peminat-peminatnya supaya terus berada di rumah serta tidak pulang ke kampung untuk berhari raya susulan penularan wabak pandemik COVID-19 yang masih belum reda.

Beliau berkongsi kata-kata nasihat itu menerusi video berdurasi 50 saat yang dimuat naik di Instagram miliknya dengan meminta seluruh rakyat Malaysia berhati-hati bagi mengelakkan wabak itu menular di kawasan kampung.

“Tak payah balik, mak okay. Janganlah degil. Sudah berapa tahun kita selalu sambut raya bersama, kali ini saja tak. Nyawa tu lebih penting. InsyaAllah nanti kita dapat bersama,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, beliau mengakui hampir mengalirkan air mata kerana seperti memahami perasaan ibu apabila tidak dapat bertemu anak-anak pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

“Video pesanan khidmat masyarakat ini adalah kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Segala dialog dalam video itu ditulis sepenuhnya oleh saya.

“Ketika merakam video ini saya hampir nak menangis kerana sebagai ibu sudah tentu rasa sedih apabila anak-anak tidak dapat pulang ke kampung menyambut raya. Ibu biasanya akan selalu cakap dia okay walaupun perasaan itu sebaliknya.

“Namun janganlah kita berdegil kerana kerajaan sudah membuat pengumuman dan melarang tindakan merentas negeri sempena Aidilfitri ini,” katanya.

Menurut Fauziah, beliau berharap kepada mana-mana individu yang berhajat untuk pulang ke kampung untuk melupakan hasrat itu seketika waktu kerana bimbang keadaan bertambah lebih buruk.

“Sesetengah orang yang tetap berkeras nak balik kampung memang tak boleh nak buat apa. Lagi dilarang, lagi pandai mereka cari peluang untuk curi-curi balik.

“Namun cuba fikir apabila kita balik kampung, tiba-tiba mak kita jatuh sakit. Baru tahun ini saja kita tak dapat balik kampung beraya, jadi kenapa nak lawan.

“Saya harap tak perlu kita nak degil kerana kalau balik kampung pun tak semestinya tinggal bersama keluarga, ada keluarga yang menginap di hotel kerana keadaan rumah mak yang kecil dan pelbagai lagi alasan diberi,” katanya.

Beliau yang berusia 67 tahun itu turut berpesan kepada orang ramai agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan diri dengan selalu mencuci tangan selain mengamalkan penjarakan sosial bagi memastikan COVID-19 dapat dibendung.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar tetap mematuhi perintah kerajaan dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan industri hiburan di Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca