Ibu bapa kepada remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang meninggal dunia sewaktu percutian bersama keluarganya di Negeri Sembilan pada pertengahan tahun ini percaya bahawa terdapat elemen jenayah dalam kes kehilangannya.
Mangsa yang berusia 15 tahun dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui tanpa seurat benang kira-kira 2.5 kilometer dari The Dusun Resort, Seremban selepas 10 hari misi pencariannya dijalankan.
Laporan bedah siasat mendedahkan Nora Anna meninggal dunia kerana pendarahan dalaman yang dipercayai berlaku akibat kelaparan dan stres melampau.
Walau bagaimanapun, bapa remaja itu, Sebastien Quoirin memberitahu akhbar Irish yakni Independence bahawa keputusan bedah siasat itu tidak menjelaskan bagaimana mayat anaknya yang mempunyai masalah pembelajaran boleh berada di lokasi kejadian dalam keadaan berbogel.
Ibu Nora Anne, Meabh Quoirin menambah bahawa anak gadisnya itu merupakan seorang yang sangat pemalu dan tidak akan berjalan seorang diri melepasi pintu hadapan rumah keluarganya. Oleh itu, wanita berkenaan sukar menerima kenyataan bahawa Nora Anne telah merayau ke dalam hutan tebal.
“Bagi kami, sesuatu yang lebih kompleks pasti sudah berlaku. Kami sudah menegaskan dari awal bahawa kami percaya terdapat unsur jenayah dalam kes ini,” ujar pasangan terbabit.
Meskipun laporan autopsi tidak menyatakan Nora Anne diculik ataupun didera secara seksual, pasangan berkenaan bertekad bahawa mereka akan mendapatkan keadilan kerana ia merupakan sesuatu perkara yang sangat mustahil untuk membayangkan Nora Anne berjalan sejauh itu.
“Kami susah ekoran terdapat kesukaran bagi mendapatkan sumber secepat mungkin bagi menyiasat kes ini dari sudut kriminal,” tambah pasangan itu lagi.
Nora Anne Quoirin dilaporkan hilang dari The Dusun Resort, Seremban pada 4 Ogos lalu selepas hanya satu hari mendaftar masuk ke pusat penginapan itu bersama keluarganya.
Ratusan sukarelawan, helikopter dan anjing pengesan menyertai misi pencarian remaja itu yang dikatakan mempunyai pembelajaran.
Tambah Meabh dan Sebastien lagi, mereka percaya bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak faham bahawa Nora Anne merupakan seorang remaja istimewa.
Pasangan Quoirin kini dilaporkan masih lagi menunggu laporan penuh ujian autopsi anak gadis mereka yang telah dilakukan di Malaysia dan keputusan bedah siasat kedua terhadap mayat Nora Anne yang dijalankan selepas mayatnya diterbangkan ke London.