Tak Memilih Kerja, Gadis Berusia 20 Tahun Ini Seronok Jadi ‘Rider’ Foodpanda

Khidmat runner atau penghantar makanan sangat sinonim dan didominasi oleh kaum lelaki. Walau bagaimanapun, kaum hawa kini semakin hari semakin dilihat sudah berjinak-jinak dengan kerjaya ini.

Gadis berusia 20 tahun, Farah Nur Syifa telah menarik perhatian warga Twitter apabila memuat naik sekeping gambar dirinya memakai uniform kerjanya sebagai seorang penghantar makanan Foodpanda.

Memetik laporan Gempak, gadis yang lebih mesra dengan panggilan Fafa ini pada awalnya berniat hanya sekadar kerja sambilan sahaja.

Kini, dirinya membuat keputusan untuk menjadi ‘rider’ sepenuh masa ekoran kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

“Saya kerja dengan Foodpanda sejak awal tahun lagi. Saya daftar tahun lepas masa tengah belajar dulu tapi baru dapat masuk awal tahun.

“Awal tahun pulak saya praktikal, jadi saya buat sambilan lepas dah habis kerja. Selepas praktikal, saya terus buat sepenuh masa sebab sekarang ini susah nak dapat kerja,” katanya.

Dirinya juga turut mengakui bahawa semakin menyukai pekerjaan sekarang ini walaupun kadangkala terlintas perasaan takut terutama ketika waktu malam, memandangkan dia merupakan seorang perempuan.

“Saya suka kerja ni, boleh dikira macam hobi juga la. Kadang-kadang tu ada perasaan takut juga terutama waktu malam, saya pulak perempuan.

“Alhamdulillah sepanjang bekerja ni tak ada lagi perkara yang tidak diingini berlaku. Minta dijauhkan,” katanya.

Menurut Fafa yang juga merupakan pelajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) jurusan Terapi Kecantikan, dia gembira dapat bertemu dengan pelanggan yang berbeza bangsa dan umur yang rata-ratanya memberi layanan yang baik kepadanya.

“Pengalaman yang menyeronokkan, pelanggan tak kira bangsa dan umur. Mereka sporting, ada yang bagi duit raya dekat saya.

“Paling seronok apabila pelanggan faham masa kita lambat hantar sebab kedai makan tengah ramai orang.

“Alhamdulillah, masa puasa haritu ada pelanggan sedekahkan air untuk saya berbuka. Masa tu tinggal dua minit lagi nak berbuka. Rasa dihargai sebagai ‘rider’ dan barisan hadapan (frontliner),” ujarnya.

Sementara itu, Fafa yang memiliki raut wajah yang cantik tidak terlepas daripada diganggu oleh kaum Adam.

“Kadang-kadang tu ada ja tapi saya tak layan. Kalau nombor tak kenal, saya akan layan jika dia pelanggan perniagaan saya,” jelas gadis ini.

Menurut Fafa, selain menjadi seorang penghantar makanan, dia juga turut melakukan beberapa pekerjaan lain termasuklah menolong ibunya menjual laksa mee pangkor dengan menghantar kepada pelanggan di sekitar Ipoh.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan ‘rider’ Foodpanda, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca