Tak Mahu Hidup Sunyi, Lelaki Ini Sanggup Biar Jasad Adik Mereput Atas Sofa

Seorang lelaki dekat Novomoskovsk, Ukraine sanggup membiarkan jasad mendiang adiknya mereput di dalam tempat kediaman mereka selama empat bulan kerana dia mahukan peneman.

Selepas risau kerana lama tidak nampak kelibat adik-beradik tersebut, beberapa orang jiran yang prihatin datang melawat rumah Valeriy dan Andrey. Namun, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati jasad mendiang Andrey dibiarkan mereput di atas sofa.

Memetik laporan Daily Star, Albina iaitu jiran adik-beradik berkenaan berkata dia terhidu satu bau yang sangat busuk sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah Valeriy dan Andrey.

“Apabila masuk ke dalam rumah, kami dapat hidu bau busuk itu dengan serta-merta. Kami ternampak satu susuk manusia yang ditutup dengan selimut terbaring di atas sofa.

Selepas selimut berkenaan dialihkan, kami lihat ada satu tengkorak manusia yang sudah mereput. Valeriy tidur dan makan berhampiran jasad tersebut selama berbulan-bulan lamanya,” ujar Albina.

Sumber: Daily Star

Valeriy akhirnya membuka cerita bahawa dirinya tidak sanggup mengebumikan adiknya yang disyaki meninggal dunia akibat serangan jantung pada musim luruh tahun lalu kerana dia tidak mahu sunyi.

Oleh itu, lelaki berusia 52 tahun tersebut melayan jasad Andrey seolah-olah mendiang masih hidup. Valeriy berbual dengan adiknya dan turut makan berhampiran jasad mendiang.

Dalam pada itu, seorang jiran lain bernama Oleksiy agak pelik apabila tingkap rumah Valeriy dan Andrey dibiarkan terbuka sepanjang musim sejuk.

“Saya ingat mereka panas. Namun, ia tidak mustahil untuk Valeriy menggunakan cara tersebut untuk memperlahankan proses pereputan jasad adiknya,” jelas Oleksiy.

Jasad tersebut akhirnya dibawa oleh pihak polis ke rumah mayat dan akan diberikan pengebumian sempurna serta kos pengebumian akan ditanggung sepenuhnya oleh negeri berkenaan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca