Tular semalam di media sosial tentang tindakan segelintir calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyerang halaman Google Review sebuah pusat peranginan di Pahang ekoran keliru ketika menjawab ujian mendengar.
Difahamkan, nama Salang Sayang Resort telah disebut dalam pita rakaman soalan ujian berkenaan.
Ramai calon mendakwa jurucakap yang ditugaskan tidak menyebut perkataan tersebut dengan betul hingga menyebabkan ramai keliru dan tidak dapat menjawab soalan terbabit.
Ini menyebabkan ramai di antara mereka menulis jawapan yang salah seperti salam layang resort, salang layang, sembahyang resort dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, ramai calon meluahkan rasa terkilan mereka di laman media sosial masing-masing.
Namun begitu, ada juga segelintir membuat keputusan yang kurang bijak dengan meninggalkan ulasan negatif berbaur marah di Google Review pusat peranginan berkenaan.
Pemilik Salang Sayang Resort, Nadiah Tuan Rozaimon Azam agak keliru dengan situasi yang berlaku kerana tiba-tiba mendapat ‘serangan’ bertubi-tubi.
Menurutnya, dia menyangka pelbagai komen dan mesej yang diterimanya itu disebabkan terdapat pelanggan yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan di resortnya.
Pengguna media sosial yang lain rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan calon SPM menyerang pusat peranginan tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak Salang Sayang Resort dilihat tenang dan meninggalkan ucapan yang baik buat calon SPM batch 2004 dengan membuat hantaran di media sosial mereka.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: