“Tak Ada Siapa Nak Bunuh Anak Sendiri”, Wanita Ini Nafi Suntikan Vaksin Punca Kematian Zuriat

Luluh hati seorang ibu apabila fakta mengenai kematian anak sulungnya yang baru dilahirkan di sebuah hospital swasta di Johor Bahru pada Oktober lalu diputarbelitkan untuk mengelirukan orang ramai mengenai vaksin.

Menurut Dzurrina, dia terkejut apabila luahan hatinya di Facebook yang meratapi pemergian anak sulungnya selepas lima hari dilahirkan dikongsi kumpulan anti-vaksin di platform media sosial untuk menyokong pendirian mereka mengenai keburukan vaksin.

Lebih mengejutkan Dzurrina atau lebih mesra disapa Yiyin, pengikut kumpulan anti-vaksin itu mendakwa kematian anaknya, Muhammad Yusuff Aymen berpunca daripada suntikan vaksin.

Yiyin berkata, “Mula-mula mestilah sedih sebab anak meninggal secara tiba-tiba. Mula-mula saya baca hampir terima tetapi kawan nasihatkan saya suapaya jangan baca yang benda bukan-bukan”

“Jadi saya biarkan dulu. Selepas itu, saya buka semula link dan baca semua komen. Saya rasa apa yang mereka katakan adalah tidak betul,” katanya.

Saya rasa kecewa, memang menangis jugalah disebabkan komen-komen mereka yang keterlaluan dan tidak menghormati perasaan saya,” katanya lagi.

Malah wanita yang berusia 29 tahu itu turut menafikan dakwaan bahawa anak sulungnya itu meninggal dunia disebabkan vaksin.

“Dakwaan kononya anak saya meninggal sebagaimana perkongsian di Facebook kumpulan itu tidak benar sama sekali. Saya tahu anak saya meninggal sebab apa tapi bukan disebabkan vaksin.”

Dia berkata, “Anak saya meninggal disebabkan pendarahan paru-paru (pulmonary hemorrhage). Tapi bila ada yang kecam saya adalah punca kematian sebab bagi anak vaksin memang saya sedihlah.”

“Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Tiada siapa nak bunuh anak sendiri. Komen mereka amat melampau,” katanya.

Malah Yiyin turut meminta bantuan rakan-rakan untuk melaporkan artikel palsu itu dengan harapan dapat dipadamkan tetapi malangnya ia masih lagi dikongsi di laman Facebook kumpulan tersebut.

“Saya ditag oleh rakan saya menerusi Facebook. Bila saya buka dan baca rupanya mereka screen shot cerita kemudian kongsi untuk menyokong pendapat menolak vaksin.”

“Jadi saya minta tolong kawan-kawan report post itu. Walaupun sudah report tapi posting itu masih ada. Saya bimbang orang ingat saya antara salah seorang daripada kelompok tersebut,” katanya.

Yiyin berkongsi kisah sedih menerusi ruang komen posting pakar bedah kelahiran Malaysia berkhidmat di London, United Kingdom (UK), Dr Amalina Che Bakri yang mendedahkan Facebook kumpulan anti-vaksin yang aktif di negara ini.

Laman Facebook yang ditubuhkan sejak 2016 itu kini mempunyai seramai 40,000 pengikut.

Bercerita mengenai pemergian anaknya selepas lima hari dilahirkan, Yiyin bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah.

“Walaupun realiti ini pahit ditelan, saya kena kuat dan ada kalanya air mata tidak berhenti mengalir apabila rindu datang. Semuanya bagaikan mimpi. Hari pertama bayi keadaan baik cuma hari kedua bayi tidak mahu menyusu.”

“Saya tengok dia susah untuk bernafas. Jadi jururawat pun bawa semula ke bilik nursery. Bila doktor periksa beritahu bayi ada kena jangkitan kuman. Jadi bayi diberikan ubat antibiotik.”

“Progress dia bagus sehinggalah hari kelima tiba-tiba oksigen menurun. Bayi terus kritikal. Saya hanya berdoa semoga keajaiban berlaku tetapi Allah lebih sayangkan anak saya,” katanya.

Jenazah Muhammad Yusuff selamat dikebumikan di kampung halaman ibunya di Pengkalan Raja, Pekan Nenas, Johor pada 27 Oktober lalu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca