Bagi mereka yang mengikuti rancangan Asia’s Got Talent 2019 (AGT 2019), terdapat dua peserta mewakili Malaysia bagi rancangan tersebut iaitu Yaashwin dan Kumpulan Nama. Kedua-dua wakil Malaysia ini berpeluang untuk sampai ke peringkat akhir.

Keputusan pemenang bagi rancangan AGT 2019 diumumkan semalam di mana Yaashwin Sarawanan berjaya mendapat tempat kedua dan beliau merupakan peserta Malaysia yang pertama untuk sampai ke peringkat ini manakala juara pula disandang oleh seorang ahli silap mata dari Taiwan, Eric Chien.

“Ia berada di luar jangkaan saya untuk berada di tempat kedua. Daripada 200 persembahan dikurangkan menjadi sembilan persembahan. Kini, saya bersama Chien untuk penentuan bagi juara AGT 2019.” kata beliau kepada Bernama dan Harian Metro ketika bertemu di Result Shows.

Bagi persembahan penutup, beliau memilih tema ‘Back to Skool’ dan meminta ketiga-tiga juri iaitu David Foster, Anggun dan Jay Park untuk sama-sama terlibat dalam persembahannya. Beliau membuat persembahan yang dinamakan “Masalah Kalendar” iaitu beliau boleh mengetahui hari yang tepat bagi sesuatu acara dengan mengira tarikh, bulan dan tahun dalam kalendar.

Setiap juri memberikan soalan yang berbeza seperti David Foster menguji beliau dengan soalan hari David menerima Anugerah Grammy pertamanya, manakala Anggun memberikan soalan berkenaan hari anak perempuannya yang pertama dilahirkan dan Jay Park pula tentang hari lahir bapanya. Kesemua soalan yang diberikan dapat dijawab dengan tepat oleh Yaashwin.

Fakta menarik tentang Yaashwin ialah beliau merupakan pelajar dari SMK Bandar Tun Hussein Onn 2 dan telah mengambil kelas abakus dan aritmetik mental ketika beliau berusia tujuh tahun. Beliau juga pernah menjadi juara dalam pertandingan Abakus dan Aritmatika Mental Antarabangsa pada tahun 2017.

Tahniah diucapkan bagi Yaashwin Sarawanan kerana berjaya mendapat tempat kedua bagi AGT 2019 ini dan sekali gus dapat mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda