Baru-baru ini, kita semua digemparkan dengan berita serangan yang mengorbankan 50 jemaah dalam insiden di masjid di Christchurch. Pengganas yang tidak berhati perut tersebut membuat siaran langsung di Facebook semasa melakukan serangan menjadikan tindakannya itu kelihatan seolah-olah dia sedang berada di dalam permainan digital.
Susulan kejadian itu, Mufti Negeri Sembilan telah mengeluarkan satu gesaan untuk mengharamkan permainan digital PlayerUnknown’s Battlegrounds atau lebih dikenali sebagai PUBG kerana terdapat unsur keganasan seperti insiden yang berlaku pada Jumaat lalu.
Menurut Datuk Mohd Yusof Ahmad, PUBG mendidik generasi kita ke arah aktiviti keganasan selain menghilangkan perasaan belas kasihan terutamanya dalam kalangan remaja. Ada yang bersetuju dengan kenyataan tersebut dan pada masa yang sama, ada juga yang bertindak menyelar kenyataan itu.
Tidak ketinggalan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmad turut menyatakan pendapat beliau berkenaan perkara ini. Menurut beliau, gesaan pengharaman itu sebenarnya tidak mampu untuk menangani isu keganasan seperti yang berlaku di Christchurch, New Zealand.
View this post on InstagramNak haramkan Video Game PUBG? Saya tidak bersetuju. Ini penjelasan saya.
A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq) on
“Di Malaysia saja, kita ada sejuta remaja dan orang dewasa yang bermain PUBG. Tetapi setakat ini, tiada yang cenderung dengan keganasan dan gangsterisma.”
“Jika kita mengguna pakai prinsip mengharamkan sesebuah permainan kerana unsur keganasan yang dicetuskan oleh beberapa pihak, jadi kita perlu serius mengharamkan juga permainan seperti Counter Strike, Red Alert dan General Conquer: Zero Dark Hour.”
Menteri muda ini juga sempat bergurau dengan mengatakan bahawa sekiranya dia bermain FIFA dan PES, dia berharap agar dapat mewakili Malaysia ke Piala Dunia suatu hari nanti.
“Saya berdoa jika saya bermain FIFA atau PES, satu hari nanti saya akan menjadi seorang pemain bola sepak bertaraf antarabangsa. Tetapi tidak, itu tak akan terjadi.”
“Apa yang boleh kita lakukan adalah memastikan mereka ini tidak ketagih dengan permainan sedemikian rupa. Dan di bawah SKMM (Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia) sekalipun, kita ada Gore Score yang memantau tahap keganasan sesebuah game. Jika ia berada pada tahap membimbangkan, kita boleh klasifikasikannya kepada pemain 18 tahun ke atas,” jelas beliau pada sidang parlimen kelmarin.
Betul juga apa yang diperkatakan oleh Syed Saddiq. Dalam kehidupan kita hari ini, unsur-unsur negatif terutamanya di Internet sudah terlalu banyak dan pengharaman PUBG ini tidak akan dapat mengubah apa-apa.
Memang benar, unsur-unsur keganasan itu wujud dalam PUBG. Namun begitu, adakah itu cukup untuk kita mengharamkannya? Sebenarnya, banyak lagi medium lain yang mengandungi unsur-unsur keganasan seperti filem dan juga novel.
Kita tidak boleh menyalahkan medium tersebut kerana semuanya datang daripada diri kita sendiri. Apa pula pendapat anda semua? Wajarkah PUBG diharamkan?