Syarikat pembayaran atas talian PayPal akan menutup operasinya di Malaysia. Syarikat PayPal yang beribu pejabat di Amerika Syarikat menyatakan mereka akan melakukan pertukaran model dalam perniagaan supaya ia lebih cekap dan efisyen.
PayPal Malaysia juga dikatakan akan memulakan Voluntary Separation Scheme (VSS) untuk memberi pampasan kepada pekerja mereka bermula pada bulan April sehingga Ogos 2019 ini.
Menurut portal Amaz.my, “dengan penutupan PayPal Malaysia, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pekerja. Walau bagaimanapun pihak syarikat tersebut akan berusaha dalam membantu para pekerjanya untuk mencari pekerjaan yang baru melalui pelbagai latihan bagi meningkatkan kebarangkalian mereka untuk mendapatkan pekerjaan.”
Bagi pelanggan PayPal yang setia terhadap produk dan perkhidmatan ini, usah khuatir kerana perkhidmatan PayPal masih boleh digunakan seperti biasa di Malaysia walaupun syarikat itu tidak lagi mempunyai ibu pejabat operasi di sini.
Di antara bahagian Paypal yang ditempatkan di Malaysia dan akan terkesan dengan penutupan ini termasuklah bahagian khidmat pelanggan, bahagian pengurusan dan juga bahagian teknikal. Pengguna di Malaysia dan Asia Pacific yang lain akan diuruskan oleh pusat khidmat pelanggan yang akan diatur dan diumumkan oleh PayPal kelak.
Dalam satu kenyataan, PayPal berkata:
“Pusat operasi kami di Malaysia telah melakukan kerja yang luar biasa untuk pelanggan kami sejak dibuka pada tahun 2011. Walau bagaimanapun, keputusan ini dibuat untuk menyelaraskan pelaburan kami di tapak yang lebih baik untuk menyokong keperluan masa depan pelanggan kami dan syarikat kami.”
“Kami sentiasa mengkaji struktur laman web dan kakitangan kami secara teratur untuk memastikan sokongan dan perkhidmatan yang kami sediakan di setiap laman web adalah yang terbaik bagi memenuhi tuntutan pelanggan kami yang semakin berkembang.”