Syarikat Indonesia Ini Cipta Aiskrim Perisa Indomie Siap Dengan Bawang Goreng

Indomie memang menjadi mi segera kegemaran ramai di Indonesia dan juga Malaysia. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ia layak digelar sebagai mi segera paling ‘lejen’ berbanding jenama-jenama lain.

Sejak beberapa tahun lepas, terdapat pelbagai inovasi makanan yang diinspirasikan daripada Indomie. Antaranya termasuklah keropok perisa Indomie, burger Indomie, kek Indomie dan banyak lagi.

Terbaharu, sebuah syarikat aiskrim di Indonesia yang dikenali sebagai Holi Ice Cream telah tampil dengan aiskrim berperisa Indomie dan ia merupakan ciptaan pertama di negara itu.

Sumber: Instagram Holi Ice Cream

Jika mi goreng Indomie mempunyai kriuk-kriuk yang ditabur di atas, aiskrim ciptaan syarikat ini juga mempunyai bawang goreng yang ditabur di atasnya.

Pelancaran aiskrim Indomie ini telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Tinjauan kami mendapati bahawa rata-ratanya tidak percaya dengan kewujudan aiskrim ini. Malah, ada yang menganggapnya sebagai satu ‘penghinaan’ terhadap mi goreng Indomie.

Pada masa yang sama, ramai yang tertanya-tanya bagaimana agaknya rasa aiskrim ini. Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa mereka pada mulanya menyangkakan ia merupakan bekas lilin wangi semasa melihat gambar aiskrim ini buat pertama kali.

Sumber: Instagram Holi Ice Cream

Pemilik Holi Ice Cream iaitu Stephen mengatakan bahawa dia mendapat inspirasi untuk menjadikan Indomie sebagai perisa aiskrim kerana terlalu menggemari mi segera jenama itu.

“Saya sedang menikmati mi goreng Indomie ketika itu dan terfikir kalau ada aiskrim berperisa Indomie, mesti sedap dan rare,” cerita Stephen.

Perkara itu memberi idea kepada Stephen untuk terus melakukan kajian dengan mencipta pencuci mulut perisa Indomie untuk dicuba sendiri dan hasilnya, dia sangat menyukainya.

“Selepas itu, saya juga berikan aiskrim tersebut kepada orang lain tanpa beritahu mereka ia adalah perisa Indomie. Mereka kata rasanya sangat sedap dan semua terkejut bila dapat tahu sebenarnya itu adalah aiskrim Indomie,” kata Stephen lagi.

Aiskrim Indomie ciptaan Stephen sendiri itu baru sahaja dilancarkan secara rasmi pada 10 Ogos lepas dan ia merupakan antara perisa terbaharu yang dikeluarkan oleh Holi Ice Cream ketika ini.

Terdahulu, mereka terkenal dengan ciptaan perisa aiskrim yang diinspirasikan daripada pelbagai jenis makanan dan minuman. Antaranya termasuklah perisa ‘Butterbeer’ yang diinspirasikan daripada filem Harry Potter.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan inovasi makanan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca