Sweet Charity, Pencetus Muzik Rock Di Asia Tenggara

Kumpulan Sweet Charity merupakan sebuah kumpulan gitar rancak (Kugiran) yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 1967. Penyanyi berkumpulan ini dianggotai oleh Ramli Sarip, Rosli Muhalim, Joe Salim, Wahid Warren dan Rahman Sarbani.

Kumpulan Sweet Charity muncul seangkatan dengan Kingdom In Rock yang berjaya mengadaptasi muzik rock barat ke dalam budaya tempatan.

Gaya persembahan Sweet Charity pada ketika itu banyak dipengaruhi oleh Deep Purple, Black Sabbath dan Lep Zeppelin. Kumpulan ini banyak mengadakan persembahan di fun fair sekitar Singapura pada tahun 70-an.

Mereka dikenali sebagai perintis kepada kemunculan muzik rock daripada arena bawah tanah. Mereka juga digelar sebagai Deep Purple Singapura sehingga menjadi idola bagi kumpulan rock pertama Malaysia iaitu Search.

Kelahiran Sweet Charity di Singapura secara tidak langsung mengubah industri muzik Malaysia yang pada ketika itu masih lagi dipengaruhi aliran pop yeh yeh.

Search sebagai perintis muzik rock Malaysia telah mengambil inspirasi daripada Sweet Charity bagi menghasilkan album pertama mereka iaitu Cinta Buatan Malaysia.

Bukan itu sahaja, pelbagai kumpulan rock di Malaysia juga mulai muncul akibat kewujudan Sweet Charity.

Lagu-lagu seperti Teratai, Sejuta Wajah dan Kamelia memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap industri muzik rock yang baru bertapak.

Mereka juga berjaya memberi nafas baru kepada lagu Kamelia nyanyian asal Ebiet G.Ade kepada irama yang rock yang lebih keras. Lagu ini telah menjadi fenomena sehingga dianggap sebagai lagu asal milik Sweet Charity.

Bagaimanapun, kepopularitian Sweet Charity mulai pudar apabila vokalis utama iaitu Ramli Sarip mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.

Beliau dikatakan nekad untuk menjadi penyanyi solo dengan album pertamanya iaitu RAMLI SARIP. Meskipun kehilangan sebelah sayap, anggota lain Sweet Charity tetap meneruskan perjuangan dengan mengeluarkan album Sweet Charity ‘88’ bersama vokalis utama, Zaitun.

Pada tahun 1996, mereka telah disatukan kembali dengan nama Sweet Charity di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Walaupun mereka sudah lama tidak bergabung, namun, mutu seni yang dihasilkan oleh mereka masih lagi berada pada tahap membanggakan.

Mereka tampil dengan irama rock keras tetapi masih mengekalkan unsur-unsur kemelayuan seperti lagu Jangan Tunggu Lama-Lama dan Zakiah. Mula dari saat itu, mereka masih terus bersatu dan dianggap sebagai kumpulan rock lagenda bagi di mata rakyat Singapura dan Malaysia.

Penulis

  • Mohamad Azmil Azali Bin Jafri adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel yang berkaitan dengan penyanyi berkumpulan tanah air yang menggamit nostalgia, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca