Seorang guru besar, isteri dan juga salah seorang daripada anak perempuannya telah terkorban dalam sebuah nahas jalan raya di sekitar Bandar Ketengah Jaya.
Seorang lagi anak perempuannya cedera parah dalam kemalangan tersebut yang berlaku kira-kira jam 3:10 petang.
Mangsa kemalangan tersebut, Mohd Zuki Yusof, 44, seorang guru besar SK Ketengah Jaya 2, dan pasangannya, Nur Farraheeda Ali Khan, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.
Salah seorang anak perempuan kepada pasangan tersebut, Nasyreen Umayra Mohd Zuki pula menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya pada jam 6:20 petang.
Manakala seorang lagi anak perempuan mereka, Damia Irdina, 13, yang mengalami kecederaan parah kini sedang menerima rawatan di Hospital Dungun.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Subaru yang dipandu oleh Mohd Zuki yang menuju dari arah Paka tiba-tiba hilang kawalan ketika di selekoh hingga mengakibatkan kenderaan tersebut bertembung dengan sebuah bas dari arah yang bertentangan.
Akibat daripada pertembungan tersebut, kenderaan yang dinaiki empat beranak berkenaan remuk dan mangsa tersepit lalu terpaksa dikeluarkan oleh pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Zul Husni Abdul Rahman melaporkan bahawa keenam-enam anggota ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada sekitar jam 3:15 petang.
Pihak bomba dikatakan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia akibat tersepit di bahagian tempat duduk hadapan.
“Saya dan isteri akan jaga dua cucu hingga ke akhir hayat,” kata Ali Khan Ahmad Khan, bapa kepada Mohd Zuki yang menerima berita sedih itu pada 4:30 petang, sebaik sahaja selesai bertemu dengan pakar jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu.
Bapa mangsa mengatakan berita itu amat mengejutkan dirinya dan menyebabkan dadanya sakit secara tiba-tiba.
Ali Khan turut menambah bahawa dia tidak menghadapi masalah dalam menjaga dua anak arwah, Aqeel Zayaan, dua tahun dan Damia Irdina memandangkan kedua-dua cucunya itu cukup rapat dengan mereka.
Mangsa sekeluarga dikatakan sering ke rumah orang tuanya pada setiap petang dan sentiasa meninggalkan anak-anaknya bersama kedua-dua ibu bapanya itu sekiranya mereka mempunyai urusan penting.
Ibu mangsa, Wan Rahima Wan Chik, reda dengan pemergian ketiga-tiga beranak itu kerana sebelum ini dia pernah berdepan dengan ujian yang sama selepas anak kelimanya, Syafiq Ali Khan yang maut dalam kemalangan pada 10 tahun yang lalu.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: