Suspek Utama Tembak Jatuh MH17 Ditahan Di Timur Ukraine

Salah seorang suspek utama yang disyaki menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) telah ditahan di timur Ukraine atas tuduhan berbeza ketika perbicaraan bermula pada Mac lalu, menurut laporan BBC Rusia pada Khamis.

Bekas komander lapangan iaitu Leonid Kharchenko yang juga berusia 47 tahun itu merupakan satu-satunya warga Ukraine yang dituduh bersama tiga suspek lain yang dinamakan dalam siasatan oleh Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) diketuai Belanda.

Mereka dituduh bertanggungjawab atas tragedi tragik yang telah membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 pada Julai 2014.

Tiga suspek yang lain merupakan warga Rusia iaitu Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan Igor Girkin. Semua suspek terbabit sebelum ini dijangka dibicarakan tanpa kehadiran mereka di hadapan hakim.

Memetik daripada laporan BBC Rusia, pihak berkuasa pro-Rusia di Donetsk telah menahan Kharchenko berhampiran rumahnya pada 11 Mac yang lepas.

Suspek dilaporkan dituduh memiliki senjata api tanpa kebenaran.

Terdahulu, Kharchenko pernah dituduh atas kesalahan mengasaskan kumpulan pengganas pada tahun 2015 oleh pihak berkuasa Ukraine, yang terlibat dalam konflik dengan Rusia sejak enam tahun lalu.

Menurut laporan, Kharchenko ditahan di sebuah pusat tahanan di Donetsk dan tempoh tahanannya telah dilanjutkan selama dua bulan sejak Jumaat lalu.

Hakim pada pendengaran kes di Belanda pada Mac telah menangguhkan perbicaraan kes MH17 sehingga 8 Jun untuk memberi ruang bagi persiapan pihak peguam bela.

Untuk baca artikel lain berkaitan tragedi kapal terbang, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca