Suspek Belasah Dalam Lif Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan suspek lelaki yang menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di stesen aliran transit massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lepas.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Taman Cheras, Jalan Cheras di Kuala Lumpur oleh sepasukan anggota polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan suspek akan ditahan reman pagi ini.

Harian Metro melaporkan polis sudah mengenal pasti identiti suspek yang memukul dan menyamun wanita itu dalam kejadian Khamis lalu. “Pihak polis sudah mendapatkan beberapa maklumat lelaki berkenaan sebelum usaha memburunya dijalankan,” katanya.

Dia ditahan di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan. Hasil siasatan polis, suspek didapati telah menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam kira-kira jam 6.30 pagi hari yang sama, berhampiran stesen MRT berkenaan sebelum menyamun mangsa di dalam lif.

Mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan berada dalam lif berkenaan bersama suspek sebelum dibelasah dan disamun lelaki itu. Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera pada dahi dan badan serta dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca