Surat Terbuka Kepada Tomok, Black Dan Rakan Artis Yang Lain

Baru-baru ini, Tomok dan Black tampil menyuarakan pendapat mereka di laman sosial meminta supaya pihak kerajaan tidak terlepas pandang terhadap golongan artis dengan memberi bantuan khusus kepada kelompok itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Pendapat mereka itu turut mendapat sokongan beberapa rakan artis yang lain di laman Instagram.

Sepanjang tempoh PKP ini, segala kerja mereka tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan. Mereka mengatakan sumber pendapatan utama mereka terganggu dan boleh dikatakan mereka tidak ada punca pendapatan selagi PKP belum tamat.

Sudah pasti hal ini menarik perhatian ramai. Rata-rata tidak bersetuju dan mempertikaikan permintaan segelintir golongan artis yang inginkan bantuan khusus daripada kerajaan. Macam-macam komen yang warganet lemparkan, ada yang mengatakan mereka hidup mewah, memakai kereta besar dan pergi melancong sana sini dan disebabkan itu, golongan artis tidak layak diberi bantuan khusus.

Ada yang mempertikaikan dan mengatakan Black memakai kereta mewah. Perkara itu juga dikongsi Black sendiri beberapa bulan dahulu.

Orang ramai seakan hairan dengan permintaan mereka itu dan mempertikaikan adakah golongan artis tidak mempunyai simpanan yang mencukupi semasa PKP dilaksanakan.

Lewat malam semalam, saya berpeluang berbual dengan Aisa Benasri iaitu tuan punya ciapan di atas merangkap boss saya di Lejen Digital. Beliau menyatakan rasa kagum terhadap saudari Mun yang secara baik menolak beberapa tawaran daripada individu yang ingin menghulurkan bantuan berbentuk wang dan barangan keperluan selepas ciapan di atas tular di Twitter.

Mun bagaimanapun memilih untuk berusaha mendapatkan pendapatan dengan hasil jualan cookies kerana berpendapat ramai lagi orang di luar sana yang lebih memerlukan bantuan sedemikian berbanding dirinya.

Jelas di sini, sosok mulia seorang ibu tunggal berkasihkan tiga orang anak sebagai penyeri hidup ini enggan cuba mencari ruang menagih simpati untuk bantuan dan subsidi baik daripada kerjaan mahupun orang awam walaupun layak berbuat demikian. Apatah lagi untuk bersuara di laman sosial sendiri meraih simpati dan bantuan kerajaan.

Sengaja saya kongsikan kisah ini kerana pada hemah saya mungkin ia boleh dijadikan tauladan buat kita semua.

Tujuan saya menulis surat terbuka ini bukan untuk menambahkan lagi kecaman yang telah diterima para artis kerana permintaan mereka itu. Malah, saya mahu mengutarakan sedikit pandangan dan membuka mata para artis yang katanya layak menerima bantuan khusus kerajaan.

Ada beberapa perkara yang para artis boleh lakukan selain meraih simpati memohon bantuan dek kerana PKP sedang berjalan.

1. Guna peluang pengaruh dan pengikut.

Para artis mempunyai kelebihan iaitu pengaruh dan pengikut. Kelebihan ini bukan semua orang ada, hanya golongan artis dan orang-orang yang dikenali sahaja mempunyai dua ‘P’ ini. Mengikut pemerhatian yang saya buat, jumlah pengikut Tomok di laman Instagramnya ialah seramai 2.5 juta orang. Jelas ini memberi banyak kelebihan kepadanya. Saya percaya kebanyakan artis juga mempunyai bilangan pengikut yang ramai.

Golongan artis boleh membuat perniagaan sendiri iaitu dengan cara keluarkan produk barangan sama ada dihasilkan sendiri ataupun dibungkus semula. Artis boleh jual produk seperti kerepek, biskut atau segala benda yang tengah ‘in’ pada waktu sekarang. Kalau fikir logik, tidak mungkin daripada jumlah pengikut yang ramai itu tidak ada yang berminat untuk membeli.

Jika tidak berniaga sendiri pun, mereka boleh menjadi ejen atau reseller kepada perniagaan orang lain. Perkara ini umpama serampang dua mata di mana dapat menjana pendapatan peribadi di samping dapat membantu para peniaga terlibat menaikkan hasil jualan.

Sebagai cadangan, setiap jualan itu mereka boleh ambil 10 peratus sebagai komisen. Contohnya satu peniaga mendapat hasil jualan sebanyak RM10,000 dan mereka boleh raih RM1,000 daripada hasil jualan itu dengan hanya menjadi reseller sahaja.

Bukan mahu kejar kekayaan pada waktu begini, cukuplah sekadar mampu untuk menyara kehidupan.

2. Jual barangan peribadi yang mempunyai nilai.

Jika terasa hidup terlalu tersepit semasa tempoh PKP dijalankan, apalah salahnya kalau jual barang bernilai mereka. Mereka boleh jual kasut, jam tangan, helmet mahal, motosikal, barangan koleksi, baju dan lain-lain. Barangan mereka itu boleh ditawarkan untuk dijual kepada jutaan pengikut di laman sosial. Daripada berjuta pengikut itu, pasti ada yang berminat. Maklumlah artis, sudah pasti ada peminat fanatik.

Hasil daripada jualan tersebut mungkin dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan mereka pada ketika sumber pendapatan terjejas kesan ‘tiada job’ di waktu PKP ini.

3. Perbanyakkan penghasilan digital content.

Dalam tempoh PKP ini pastinya jumlah masa kebanyakan orang di internet berkali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan. Jadi, peluang begini patut direbut oleh golongan artis untuk menggunakan masa yang ada akibat ‘tiada job’ untuk menghasilkan content seperti video dan sebagainya untuk dimuat naik di pelantar digital. Perkara ini boleh mendatangkan pendapatan.

Sebagai contoh, mereka boleh menghasilkan satu content YouTube sehari. Dalam 28 hari ada 28 content jika terus konsisten. Jika setiap content mampu raih 100 ribu tontonan, dalam 28 hari dapat 2.8 juta tontonan. Di YouTube, ia mampu raih pendapatan sekitar RM3,000-RM6,000. Selepas sebulan, boleh cash out dan dapat hasil daripada penghasilan content itu.

4. Membuat online showcase menerusi lnstagram live.

Satu lagi inisiatif yang boleh golongan artis lakukan ialah menganjurkan online showcase secara langsung di laman sosial seperti Instagram dan sebagainya.

Bayaran minimum yang dikenakan, RM10 sebagai contoh, pastinya dapat memberikan pulangan hasil yang setimpal dengan inisiatif dan usaha yang dilakukan, selain dapat lebih merapatkan hubungan dengan para peminat. Bukannya bertekak perli-memerli tentang layak-tidak layak golongan artis menerima bantuan kerajaan.

Inisiatif ini sudah pun digerakkan oleh Amir Jahari. Tidak memilih untuk menagih bantuan dan perhatian kerajaan di laman sosial, Amir Jahari proaktif bertindak lantas menganjurkan online showcase beliau sendiri di laman Instagram dengan bayaran minima RM10.

Sebagai contoh, jika Amir Jahari berjaya menjual 500 keping tiket, beliau akan berjaya meraih RM5,000.

Tidakkah ia satu inisiatif yang bijak daripada seorang artis?

Kerajaan sudah menyatakan bahawa akan usahakan yang terbaik untuk rakyat. Jadi golongan artis tidak perlulah meminta bantuan khusus daripada kerajaan. Mereka perlu berada sebaris dengan rakyat lain dan menerima apa sahaja pakej serta bantuan kerajaan kepada rakyat.

Namun dalam isu ini, saya bersetuju jika artis veteran termasuk dalam kelompok yang perlu dibantu. Kekangan kudrat dan kekurangan perhatian pada pasca populariti mungkin menyukarkan mereka dalam waktu sebegini untuk mencari sumber pendapatan. Saya yakin kerajaan atau institusi tertentu tidak akan terlepas pandang dan tampil membantu kelompok ini bagi meringankan beban.

Apa-apa pun, golongan artis muda dan berpengaruh perlu sedar bahawa lebih ramai lagi yang lebih layak mendapatkan bantuan khusus berbanding mereka. Usahlah bising-bising meraih perhatian untuk bantuan. Berusahalah.

Bagi saya, kita boleh memilih sama ada berharap untuk dibantu ataupun mencari jalan menggunakan dua aset besar yang ada pada manusia iaitu akal dan masa. Pilihan terletak pada diri masing-masing.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan perihal artis tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca