Sebelum ini kami kongsikan berkenaan kisah surat dari masa depan oleh kanak-kanak bernama Taylor Smith selepas dia meninggal dunia.
Kali ini, kami kongsikan pula mengenai kisah surat daripada penjenayah yang melarikan diri dari penjara Alcatraz 56 tahun lalu.
Sekumpulan tiga lelaki berani ini yang dianggotai oleh adik-beradik lelaki John Anglin dan Clarence Anglin serta Frank Lee Morris.
Untuk pengetahuan anda, Alcatraz adalah penjara yang mempunyai keselamatan yang paling ketat di muka bumi ini. Penjara itu menempatkan beberapa penjenayah yang paling berbahaya. Ia terpencil di sebuah pulau dan hampir mustahil untuk melepaskan diri dari tempat itu.
Walaupun, terdapat banyak percubaan banduan untuk meloloskan diri namun tidak berjaya. Ada yang ditangkap dan ada juga yang ditemui mati kesejukan di dalam air selepas cuba berenang ke seberang teluk.
Berbeza pula dengan kisah 3 orang banduan licik ini. Kehilangan mereka terus menjadi satu misteri apabila sekian lama pihak polis menjalankan operasi mencari mereka menemui jalan buntu. Oleh itu, pihak polis membuat kesimpulan bahawa mereka semua tenggelam dan menutup kes tersebut.
Namun, pada tahun 2013 jabatan polis San Francisco digemparkan apabila menerima sepucuk surat dari seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah John Anglin iaitu salah seorang banduan yang melarikan diri dari penjara pada bulan Jun 1962 lalu. Penulis surat itu juga mengatakan bahawa dia berusia 83 tahun (pada masa itu) dan mempunyai kanser.
Coretan surat itu mengatakan bahawa Frank Morris akhirnya mati pada tahun 2008 dan Clarence telah meninggal pada tahun 2011. Penulis surat itu turut mengatakan bahawa dia akan memberitahu polis di mana dia tinggal jika dia diberikan satu tahun rawatan perubatan di penjara.
Surat itu disimpan oleh pihak polis untuk penyiasatan sehinggalah satu dokumentari berkenaan kehilangan banduan itu pada tahun 2015 menunjukkan bukti lanjut bahawa saudara-saudara Anglin mungkin melarikan diri.
Pihak polis membuat keputusan untuk membuka semula kes itu pada awal Januari 2018. Kandungan surat itu didapati jelas memaparkan teori konspirasi mengenai apa yang telah berlaku pada tahun 1992.
Menurut keluarga Anglin, mereka menerima kad Krismas yang ditandatangani oleh adik-adiknya dengan menggunakan tulisan tangan. Malah, keluarga itu turut menerima gambaran yang menunjukkan adik-adiknya itu berada di Brazil.
Sekiranya ketiga-tiga pelarian itu masih hidup, beginilah wajah tua mereka yang hampir berumur 90 tahun pada ketika ini. Jika mereka ditangkap, mereka masih perlu bertanggungjawab atas jenayah yang mereka lakukan dengan hukuman sekurang-kurangnya satu dekad lagi.