Penulis: Zafirah Zapri
Pada 8 Ogos, Kate Challenger dan pasangannya Daniel McNally sedang berlayar di perairan Queensland, Australia.
Ketika berada di belakang bot, mata McNally tertancap pada suatu objek yang sedang terapung di permukaan laut. Ia adalah sebuah botol buruk dan mereka beranggapan ia adalah sampah yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Lelaki yang suka menjaga kebersihan laut itu pun mengutip botol tersebut dan mendapati ada sehelai nota di dalamnya.
Nota itu ditulis dalam bahasa Cina dan McNally yang merupakan pengusaha syarikat pelancongan telah menggunakan laman Facebook perniagaannya bagi meminta pertolongan sesiapa yang dapat menterjemah nota misteri tersebut.
Usaha itu mendapat maklum balas dan beberapa orang cuba menterjemah isi nota itu. Rupa-rupanya surat itu ditulis oleh seorang kelasi kapal yang pergi berlayar sejurus selepas dia bertunang. Dia menyatakan rasa cinta kepada tunangnya, Jing dengan harapan agar dapat pulang untuk hidup bersama gadis itu.
“I’m a sailor sailing on the Indian Ocean. I deeply miss my fiancée at home. Shortly after we were engaged, I am travelling far away on the sea. I am sorry for leaving her behind, I could only jot down my deep feelings to her and seal it in a floating bottle.”
“My only wish is to return home to live a beautiful and happy life with Jing, a long life in harmony. I know the bottle is in deep seas and I wouldn’t dream someone could found it and read my letter. What I’ve done is … to keep a peace and comfort in my heart.”
“I love you, Jing.”
Menjejak Penulis dan Penerima Surat Tersebut
Challenger menangis setelah membaca makna kandungan surat tersebut lalu dia mengambil inisiatif bagi mencari siapakah kelasi yang romantik dan pasangannya itu?
Brisbane Times melaporkan Challenger memanfaatkan media sosial sepenuhnya dan post tersebut telah menjadi tular.

Challenger dihubungi oleh seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai rakan kepada kelasi terbabit. Menerusi lelaki tersebut, Challenger dan McNally akhirnya mendapat tahu bahawa kelasi tersebut tidak berkahwin dengan tunangnya. Jing telah berkahwin dengan orang lain dan mempunyai keluarga sendiri. Manakala kelasi itu masih membujang sehingga kini.
Kelasi tersebut meminta identiti dirinya dan bekas tunangnya tidak dikenali kerana bimbang Jing sekeluarga terluka dan dia tidak mahu mengganggu mereka.
Pengakhiran kisah dua hati tersebut bukan seperti yang diharapkan, namun Challenger tetap berharap agar kelasi tersebut akan bertemu dengan seorang gadis yang baik-baik suatu hari nanti.
Begitulah realiti hidup. Bukan semua cerita cinta menemui penamat ‘They live happily ever after’ seperti dalam kisah dongeng atau fiksyen. Namun begitu, masih wujud sang pencinta sejati yang mahu melihat orang yang dicintainya itu hidup bahagia walaupun tidak bersamanya.
Aduhai. Ada tisu tak?