Suplemen adalah makanan tambahan yang hadir dalam bentuk pil, serbuk, tablet ataupun herba. Suplemen boleh diambil untuk menambah nutrisi harian seseorang.

Namun begitu, majoriti suplemen yang terdapat di pasaran tidaklah bagus untuk badan kita. Pelbagai bahan sintetik telah dicampur dan ini akan memberi implikasi buruk terhadap kesihatan seseorang.

Terdapat juga suplemen yang betul-betul berguna. Ia adalah tanggungjawab kita sendiri sebagai pengguna untuk melakukan sedikit kajian terhadap suplemen yang kita ingin beli. Di sini, penulis mencadangkan 3 suplemen iaitu zink, asid folik dan ekstrak teh hijau.

1. Zink

Zink adalah sejenis mineral yang boleh didapati dalam sesetengah makanan seperti tiram, daging dan ketam. Zink juga boleh didapati menerusi suplemen. Selalunya, zink hadir dalam bentuk tablet.

Kelebihan zink untuk kesihatan:

  • Merangsang fungsi keimunan badan.
  • Membantu penyembuhan luka.
  • Merawat cirit birit.
  • Memendekkan jangka masa selesema.

2. Asid folik

Asid folik adalah sejenis vitamin yang boleh ditemui dalam bentuk pil. Badan kita memerlukan asid folik untuk membina sel-sel baharu.

Ibu yang mengandung atau ingin mengandung disarankan oleh Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat untuk mengambil asid folik sebanyak 400 mikrogram setiap hari. Hal ini penting untuk mengelakkan berlakunya keguguran dan kecacatan pada kandungan.

Selain menjaga kandungan bayi, asid folik juga berguna untuk:

  • Mencegah penyakit jantung dan strok.
  • Mengurangkan tekanan darah yang disebabkan oleh kadar homosistein yang tinggi.
  • Membantu pesakit Alzheimer.
  • Mengurangkan kesan penuaan dan tulang yang lemah (Osteoporosis).

3. Ekstrak teh hijau

Antara kelebihan ekstrak teh hijau adalah:

  • Mempunyai komponen kimia Epigallocatechin Gallate (EGCG) yang mampu mengurangkan kadar pertumbuhan sel kanser.
  • Tinggi kandungan antioksidan.
  • Mengurangkan tekanan darah.
  • Mengurangkan kolesterol.

Kesimpulannya, kita hendaklah bijak dalam memilih produk kesihatan. Bukan semua produk yang dipasarkan itu elok untuk tubuh badan, ada juga yang memudaratkan.

Perlu juga diingatkan bahawa sesuatu suplemen itu mempunyai kadar dos yang tertentu. Janganlah ambil dos berlebihan tanpa nasihat daripada pakar.

Penulis

  • Mohamad Faeez Syazwan Ahmad Zawawi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry