Lima jam bekerja membolehkan mereka memperoleh pendapatan sehingga RM100, namun tempoh itu sebaliknya digunakan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan kurang mampu tanpa mengambil sebarang upah. Demikianlah sikap murni sekumpulan penghantar makanan yang mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan orang ramai dalam bentuk makanan buat gelandangan dan isi rumah memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Usaha itu dimulakan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Nor Farhan Azhari selepas terkesan dengan seorang individu yang meminta bantuan rakan penghantarnya menyampaikan bantuan kepada gelandangan semasa PKP fasa pertama.

“Seingat saya, individu itu berikan RM1,500 dan meminta rakan saya beli makanan untuk diagih kepada gelandangan sama ada tiga atau empat kali seminggu memandangkan kami lebih mudah bergerak dalam tempoh PKP.
“Ketika itu, saya juga bantu rakan agihkan makanan terbabit dan kongsikannya di Facebook sebelum lebih ramai tampil mahu turut menyumbang.
“Dari situ saya terfikir untuk teruskan aktiviti ini dan semakin lama semakin banyak sumbangan diterima sehingga kami perluaskan bantuan kepada keluarga miskin pula,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Cerita Farhan, dia dan rakan menghabiskan masa sekitar dua hingga ke lima jam setiap kali menghantar bantuan kepada gelandangan atau isi rumah. Tempoh masa yang diambil bergantung kepada lokasi penghantaran dibuat.
Aktiviti itu menurut Farhan lebih mudah dijalankan pada peringkat awal khususnya sebelum Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelamatkan gelandangan di ibu negara bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Sebelum ini, dalam tempoh dua jam saja, kami mampu selesaikan pemberian sumbangan makanan kepada kira-kira 100 gelandangan sebelum kembali bekerja.
“Namun selepas DBKL selamatkan gelandangan ini, berjam-jam juga kami pusing untuk cari gelandangan lain untuk dibantu menyebabkan kami fikir untuk beri kepada keluarga yang mungkin menanti bantuan seumpama ini,” katanya.
Jelas Farhan, setakat ini, sekitar 60 isi rumah sudah menerima bantuan makanan terbabit berupa beras, tepung, gula, kicap, ikan sardin, susu, mi segera dan sebagainya.

Selagi ada sumbangan, penyampaian bantuan akan dilakukan oleh Farhan dan enam lagi rakan bagi memastikan golongan kurang bernasib baik tidak terpinggir dalam saat getir ini.
“Setakat hari ini, tiada lagi sumbangan yang kami terima namun baki sumbangan sebelum ini sudah kami gunakan untuk beli makanan buat kira-kira 10 keluarga dan akan diagihkan secepat mungkin kepada keluarga yang betul-betul memerlukan.
“Banyak perkara yang membuka mata saya apabila melakukan aktiviti sebegini. Antaranya, ada gelandangan yang mempunyai anak sebaya anak saya, saya lihat bagaimana anaknya hanya bermain sendiri di kaki lima tanpa permainan yang biasa kita beli untuk anak kita.
“Ketika saya hantar bantuan ke rumah keluarga kurang mampu, ada ibu tunggal yang sudah beberapa hari sebelum itu cuma hidangkan cucur untuk anaknya disebabkan di rumahnya cuma ada tepung.
“Melihat semua perkara ini menjadikan saya lebih bersyukur dan sentiasa beringat untuk bantu mereka yang dalam kesusahan. Kita tidak tahu bila giliran kita,” katanya.
Benarlah apa yang diperkatakan selama ini. Kadang-kadang, kita rasa hidup kita ini sudah cukup susah. Hakikatnya, masih ada yang jauh lebih susah dan ujian yang mereka terpaksa hadapi jauh lebih berat berbanding kita.
Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah tentang tiga beranak yang hanya makan biskut kering cicah air teh untuk mengalas perut akibat hilang punca pendapatan berikutan penguatkuasaan PKP. Untuk baca artikel penuh dan artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: