Kiri atau kanan? Sukar membezakan arah antara kiri dan kanan berkebolehan dikatakan sebagai satu penyakit dalam diri seseorang.
Kadang-kala, penulis agak berasa kasihan tatkala melihat mereka yang sukar membezakan kiri dan kanan pasti kerap dimarahi dengan ahli keluarga.
Acapkali disoal berkaitan lokasi sesuatu rumah atau kedai pasti segalanya berubah menjadi semakin tidak keruan. Terpaksalah rakan atau ahli keluarga mengambil alih pemanduan anda agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Pernahkah pembaca mengalami masalah seperti di atas?
Menurut kajian, hampir 20 peratus penduduk di dunia mengalami masalah seperti ini. Namun, ia bukanlah tergolong sebagai penyakit berbahaya tetapi hanyalah sejenis gangguan yang dikenali sebagai Left Right Confusion (LRC).
Gangguan ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kiralah profesor, doktor, guru, perdana menteri, pengurus syarikat bahkan ahli perniagaan. Ini bermakna, semua golongan boleh mendapat gangguan ini.
Meskipun penyakit ini kelihatan agak biasa, namun kesannya pasti menyebabkan si pesakit malu sehingga mengakibatkan pergaduhan.
Berdasarkan kajian, penyakit ini berlaku disebabkan oleh pembahagian fungsi otak manusia yang tidak seimbang. Seperti yang kita tahu, otak manusia mempunyai dua bahagian iaitu kanan dan kiri.
Pembahagian hemisfera otak dikenali sebagai lateralized atau dalam bahasa mudahnya terbahagi secara sekata. Contohnya, 50 peratus pada otak sebelah kanan dan 50 peratus lagi pada otak sebelah kiri.
Setiap bahagian otak pula mempunyai fungsi tertentu seperti otak kanan berfungsi untuk mengawal tangan kiri, muzik, pemikiran holistik, penglihatan, kreativiti, seni dan sebagainya.
Otak kiri berfungsi pula mengawal tangan kanan, pemikiran logik, bahasa, sains dan matematik, penulisan, nombor dan sebagainya.
Gangguan ini juga adalah satu penyakit yang tidak berbahaya kepada anda. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir masyarakat yang menganggap ia sebagai suatu perkara yang sangat serius dalam kehidupan.
Tidak kurang juga di antara mereka yang menganggap ia seakan-akan bodoh dan tidak masuk akal. Apa-apa pun, pada pandangan penulis, sebagai masyarakat, kita tidak seharusnya memandang rendah akan ketidakupayaan seseorang.
Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jadi, apa salahnya sekiranya kita saling hormat-menghormati agar setiap kelebihan dan kekurangan yang dimiliki menjadi pelengkap dalam kehidupan.
Penulis
- Nik Nur Sabrina Binti Mohd Hasrin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.