Suka Kunyah Air Batu? Kenali Gejala Pagophagia

Segelintir daripada kita mempunyai tabiat mengunyah air batu tanpa sebab yang kukuh. Untuk pengetahuan anda, ia merupakan salah satu petanda yang individu itu mengalami anemia sekiranya mereka mempunyai tabiat tersebut.

Anemia membawa maksud kekurangan jumlah sel darah merah atau kandungan hemoglobin di dalam darah. Dr. Khairul Hafidz mendedahkan menerusi ciapan di laman Twitter beliau bahawa tabiat kunyah air batu itu merupakan salah satu petanda anemia.

Beliau turut menjelaskan bahawa individu yang suka kunyah air batu ini mungkin mempunyai kekurangan zat besi dalam badan dan kandungan hemoglobin di dalam darah pula kurang daripada paras normal. 

Sementara itu, tabiat mengunyah air batu ini dinamakan sebagai pagophagia. Tabiat ini membuatkan kita ingin mengunyah atau makan sesuatu yang tidak mempunyai kandungan nutrisi seperti ais, kapur, kertas, pasir dan  batu.

Untuk pengetahuan anda, penghidap anemia akan mengalami gejala seperti muka pucat, lelah, kurang tenaga, mengantuk, sakit kepala, mudah penat dan sukar memberikan tumpuan.

Selain itu, penghidap anemia ini juga mudah lupa dan warna kulit serta bahagian putih kornea mata mereka nampak kekuning-kuningan.

Untuk mereka yang mempunyai tabiat ini, anda dinasihati untuk segera berjumpa dengan doktor kerana ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan diri sendiri. Sekiranya tabiat ini tidak dirawat dalam kadar segera, anda mungkin akan meninggal dunia.

Penulis:

  • Nur Aisyah Huda Kamarulzaman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan gejala penyakit, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca