Suka Kumpul Anak Patung, Koleksi ‘Boneka’ Lelaki Ini Sebenarnya Mayat Yang Dimumiakan

Anatoly Moskvin merupakan seorang tenaga pengajar di sebuah kolej. Lelaki yang mampu bercakap dalam 13 bahasa berbeza ini turut menggelar dirinya seorang ‘nekropolis’ yakni seseorang yang pakar mengenai hal-hal berkaitan kubur dan makam.

Malang sekali buat Anatoly apabila dia menggunakan kemahirannya untuk perkara yang tidak baik sekali gus mengakibatkan dirinya dihumban ke dalam penjara pada 2011.

‘Perkahwinan’

Anatoly Moskvin dikenali sebagai seorang pakar kubur di bandar Nizhny Novgorod, Russia. Lelaki terbabit menganggap satu kejadian pelik yang berlaku ke atas dirinya pada 1979 sebagai suatu petanda yang mengubah hidupnya.

Menurut Anatoly dalam artikel terakhir penulisannya, kejadian pelik terbabit berlaku ke atas dirinya sewaktu berusia 13 tahun. Anatoly berkata dia ditahan oleh sekumpulan lelaki serba hitam yang sedang dalam perjalanan ke sebuah majlis pengebumian seorang kanak-kanak bernama Natasha Petrova, 11.

Tidak semena-mena, Anatoly dipaksa menyertai majlis terbabit dan dipaksa untuk mencium mayat gadis berkenaan. Anatoly berkata dia mengucup jasad itu beberapa kali sebelum ibu Natasha menyarungkan satu cincin perkahwinan ke jari Anatoly dan jari mayat anaknya.

“Perkahwinan saya dan mayat Natasha Petrova sangat berguna,” ujar Anatoly dalam penulisannya.

Rompakan kubur

Semenjak ‘perkahwinan’nya dengan mayat, Anatoly mula menghabiskan masanya dengan melawat kuburan. Menurut lelaki itu, dia sering melakukan aktiviti terbabit walaupun sudah tamat ijazah sarjana muda. Dari tahun 2005 sehingga 2007, Anatoly mendakwa dia sudah melawat lebih 752 kubur di bandar Nizhny Novgorod.

Pada 2009, penduduk setempat mula menyedari beberapa kubur keluarga mereka kelihatan seolah-olah digali semula. Malah, ada kuburan yang sudah hilang ‘penghuni’nya.

Jurucakap bagi Menteri Hal Ehwal Dalaman Rusia, Jeneral Valery Gribakin pada mulanya memberitahu pihak media bahawa kubur-kubur tersebut mungkin digali oleh satu kumpulan ekstrimis yang mahu menganggu keamanan kawasan terbabit. Walau bagaimanapun, kes terbabit menemui jalan buntu meskipun siasatan sudah dijalankan selama dua tahun.

Namun begitu, satu serangan pengganas yang berlaku di Lapangan Terbang Domodedovo menjadi petunjuk utama dalam pembongkaran kes rompakan kubur tersebut. Semasa kejadian, beberapa kubur di sebuah tanah perkuburan Islam telah digali oleh seseorang. Siasatan segera dijalankan dan Anatoly berjaya ditahan di kuburan sama. Rumah keluarga Anatoly segera diserbu namun apa yang menanti pihak polis di sana bakal mengejutkan dunia.

Koleksi ‘boneka’ Anatoly Moskvin

Anatoly yang ketika itu berusia 45 tahun masih tinggal bersama ibu bapanya di sebuah unit pangsapuri yang kecil. Menurut orang tuanya, Anatoly sering bersendirian dan mempunyai hobi mengumpul pelbagai jenis patung.

Sebaik sahaja pihak berkuasa menyerbu masuk ke rumah keluarga terbabit, mereka mendapati terdapat banyak boneka yang terdiri daripada pelbagai saiz dan rupa. Ada di antara mereka kelihatan seperti patung antik. Sesetengah daripada anak patung terbabit memakai solekan yang tebal. Malah, ada juga yang mukanya ditutup dengan sehelai kain nipis.

Satu siasatan dijalankan ke atas patung-patung terbabit dan keputusannya amatlah menggemparkan. Ternyata, kesemua boneka bersaiz kanak-kanak itu sebenarnya adalah mayat gadis-gadis kecil yang sudah dimumiakan.

Menurut pihak berkuasa, beberapa ‘boneka’ milik Anatoly mengeluarkan musik apabila dialihkan. Siasatan mendapati Anatoly telah memasukkan kotak musik ke dalam dada mayat-mayat terbabit supaya mereka akan memainkan lagu sebaik sahaja disentuh.

Terdapat juga beberapa ‘boneka’ yang mempunyai barangan peribadi dan pakaian di dalam badan mereka. Satu mayat mempunyai batu nesan yang berukir nama si mati diletakkan di dalam badan. Ada juga yang masih memakai tag hospital bersama tarikh kematian dan ada juga yang masih mempunyai jantung yang sudah kering.

Anatoly mengaku dia akan menyumbat ‘patung’ yang mula mereput dengan cebisan kain. Seterusnya, lelaki terbabit akan memasukkan butang atau mata patung ke dalam soket mata mayat supaya mereka boleh ‘menonton’ kartun bersamanya. Anatoly juga berkata dia amat sayang pada kesemua ‘boneka’ yang diibaratkan seperti anaknya sendiri.

Apabila disoal mengenai motif kejadian, Anatoly berkata dia berasa sangat sunyi. Dia sebenarnya mahu mempunyai keluarga sendiri. Walau bagaimanapun, pihak kebajikan Rusia menolak permohonannya untuk mengambil anak angkat berikutan lelaki itu tidak mempunyai wang yang mencukupi.

Pihak polis juga menyoal siasat ibu bapa Anatoly berkaitan obsesi tidak sihat anak mereka. Ibu Anatoly berkata mereka tidak mengesyaki apa-apa yang pelik mengenai koleksi boneka anak mereka.

“Kami hanya melihat boneka itu seperti satu alat permainan dan tidak menyangka ia adalah mayat kanak-kanak sebenar. Kami menganggap ia hanyalah hobi Anatoly untuk menghasilkan anak patung bersaiz besar,” ujar ibu lelaki itu.

Perbicaraan

Secara kesulurahannya, pihak berkuasa telah menemui 29 mayat yang sudah dimumiakan di dalam pangsapuri Anatoly. Kesemua mangsanya berada dalam lingkungan umur tiga sehingga 25 tahun. Salah satu daripada ‘boneka’ miliknya sudah disimpan selama hampir sembilan tahun sebelum dia ditangkap.

Apabila berita mengenai jenayah Anatoly tersebar, jiran-jiran keluarga itu rata-ratanya kaget. Seorang jiran mendakwa dia ada terhidu bau yang kurang menyenangkan datang dari rumah Anatoly namun tidak mengendahkannya kerana beranggapan ia hanyalah bau kompleks perumahan itu yang sudah lama.

Anatoly telah mengaku kesalahan terhadap 44 pertuduhan merompak kubur dan mendera mayat. Semasa sidang perbicaraan sedang berlangsung, Anatoly sempat menuduh ibu bapa mayat-mayat yang disimpannya.

“Kamu semua mengabaikan anak kamu. Saya yang bawa mereka pulang ke rumah dan memastikan mereka tidak lagi kesejukan,” ujarnya.

Mahkamah mengarahkan Anatoly menjalani ujian psikiatri di mana dia akhirnya didiagnos dengan penyakit skizofrenia yang memperuntukkannya menjalani hukuman penjara di sebuah hospital mental. Namun begitu, pada September 2018, Anatoly berkemungkinan dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani rawatan di rumah.

Seorang ibu kepada salah seorang mangsa Anatoly menolak keras perkara itu. Menurut wanita itu, Anatoly tidak sewajarnya dibebaskan ekoran Anatoly pernah mengaku dia akan mengali semula kubur kesemua ‘patung’ miliknya sekiranya mereka ditanam semula oleh pihak berkuasa.

Bagi ibu bapa Anatoly pula, mereka kini dipulau oleh masyarakat. Satu laporan mengatakan ibu Anatoly pernah mencadangkan kepada suaminya agar mereka berdua membunuh diri ekoran tidak tahan diperlakukan seperti itu oleh masyarakat. Suaminya menolak dan tiada maklumat terkini mengenai pasangan itu dikeluarkan.

Artikel Lain Untuk Di Baca